suria

"Saya Masih Fikirkan Lagi" - Sazali Samad

KUALA LUMPUR: Selepas seminggu dikenakan hukuman penggantungan selama empat tahun, jaguh bina badan negara Sazali Samad masih belum memutuskan sama ada untuk membuat rayuan atau tidak berhubung kegagalan ujian dopingnya.

Sazali, 48, dikenakan hukuman gantung empat tahun bermula 22 September lepas iaitu tarikh keputusan ujian berkenaan didapati positif.

Ketika dihubungi Bernama, atlet itu berkata beliau masih memerlukan sedikit masa untuk membuat keputusan yang tepat mengenai rayuan penggantungannya.

Beliau diberikan tempoh selama tiga minggu bermula hari hukuman tersebut dijatuhkan iaitu pada 21 Disember lepas sehingga 10 Januari tahun hadapan untuk mengemukan rayuan kepada Persatuan Bina Badan Malaysia (PBBM).

"Saya masih fikirkan lagi," katanya ringkas.

Beliau pada masa sama menegaskan tidak mahu diganggu dan minta diberikan masa untuk menenangkan fikiran setelah melalui detik hitam dalam karier bina badannya.

Sazali sebelum ini menerima keputusan tersebut tanpa bantahan dan atlet itu juga tidak berhasrat membuka ujian sampel B.

PBBM menerusi Agensi Anti Doping Malaysia (Adamas) melakukan ujian doping pada 1 September lepas sebelum kontinjen negara berlepas ke Tashkent, Uzbekistan bagi menyertai Kejohanan Asia Ke-49 dari 29 September hingga 5 Oktober.

Untuk rekod, Sazali tidak pernah terkecuali melakukan ujian doping bersama Adamas dan setiap tahun beliau akan diuji sekurang-kurangnya dua kali sebelum menyertai Kejohanan Asia dan Kejohanan Dunia.

Sazali pernah memenangi kejuaraan Mr Universe sebanyak 10 kali iaitu di Melaka pada 2000; Moscow, Rusia (2004); Ostrava, Republik Czech (2006); Jeju, Korea Selatan (2007); Dubai (2009); Varanasi, India (2010); Melaka (2011); Bangkok, Thailand (2012), Budaors, Hungary (2013) dan Mumbai, India (2014).

Beliau yang digelar 'Orang Besi Malaysia' juga pernah meraih sembilan kali gelaran Mr Asia pada 1996, 1998, 1999, 2000, 2004, 2009, 2010, 2012 dan 2014. - BERNAMA

Sazali Samad, ujian doping

Artikel Lain