suria

KOM Perlu Selesaikan Kontroversi Rekod 100m Sebelum Memalukan Negara - Watson

Watson Nyambek.

MIRI: Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) perlu segera tampil menjawab dakwaan rekod kebangsaan 100 meter yang dicipta Badrul Hisham Abdul Manap tidak sah bagi mengelakkannya menjejaskan kredibiliti badan induk itu.

Bekas jaguh pecut negara, Watson Nyambek berkata kontroversi kesahihan rekod itu memalukan olahraga negara berikutan timbulnya dakwaan penganjur kejohanan gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF).

"KOM tentu tahu apabila seseorang atlet itu memecahkan rekod kebangsaan atau antarabangsa, mereka harus menepati peraturan yang ditetapkan IAAF sebelum rekod baharu itu menjadi rasmi," katanya.

Watson berkata adalah normal bagi atlet pecut menyaksikan rekod baharu yang dibuat mereka ditarik balik sejurus selepas itu kerana catatan dibantu angin atau faktor teknikal lain.

Pada 23 November lepas, Badrul memadamkan rekod kebangsaan 100m berusia 17 tahun 10.30 saat yang dipegang Watson sejak 1998 dengan catatan 10.29s di Sukan Sekolah ASEAN di Brunei.

"KOM harus tahu kedudukan sebenar kerana ada antara pegawai tingginya yang mempunyai pengalaman luas hadir pada acara itu (ketika Badrul Hisham mencipta rekod baharu) dan mampu memberi pengesahan segera sama ada rekod kebangsaan sudah dipecahkan atau sebaliknya mengikut piawaian IAAF," katanya.

Menurut Watson KOM harus tampil dengan penjelasan yang tepat kerana ketika ini banyak kekeliruan timbul sama ada catatan Badrul Hisham itu rekod baharu atau sebaliknya.

Media tempatan pada Selasa melaporkan rekod Badrul Hisham di Sukan Sekolah ASEAN di Brunei mungkin tidak sah berikutan penganjur gagal memenuhi ketetapan yang ditetapkan IAAF.

Antara sebabnya adalah penganjur tidak memasang alat pengukur angin di tempat yang betul serta gagal menyediakan bukti 'photofinish'.

Persatuan Olahraga Brunei (BAA) dalam maklum balas mereka terhadap dakwaan itu, telah meminta Malaysia mengemukakan laporan rasmi supaya siasatan terperinci dapat dimulakan segera. - BERNAMA

KOM, Watson Nyambek

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain