suria

JDT Ikat Paulo Rangel Selama Dua Tahun

Paulo Rangel.

JOHOR BARU: Juara Piala AFC 2015, Johor Darul Ta'zim (JDT) pada Selasa mengesahkan mengikat penyerang dari Brazil, Paulo Rangel sebagai pemain importnya yang keempat bagi musim 2016.

Pasukan Harimau Selatan itu mengikat bekas pemain Terengganu berusia 31 tahun tersebut selama dua tahun, sekali gus menyertai barisan pemain import sedia ada iaitu Hariss Harun, Jorge Pereyra Diaz dan Marcos Antonio.

Penaung Diraja Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata kehadiran bekas penjaring terbanyak Liga Super 2014 itu akan memberi suntikan baharu di jentera serangan bersama Diaz.

"Semua orang yang tahu bola, akan tahu dia seorang pemain baik. Dia seorang pemain yang telah menapak selama tiga tahun (dalam liga tempatan) dan tak pernah berhenti menjaringkan gol di mana sahaja dia beraksi," kata Tunku Mahkota Johor itu ketika sesi pengenalan Rangel, di sini petang Selasa.

Tunku Ismail berkata sepanjang tiga tahun Rangel beraksi bersama Perak, Selangor dan Terengganu, pemain itu sudah tahu selok-belok bola sepak negara ini.

Tunku Mahkota Johor itu berkata pengambilan Rangel juga berjaya menjimatkan bajet kelab sebanyak RM17 juta kerana pemain berkenaan diikat secara percuma selepas menjadi ejen bebas sejak Oktober lalu.

Pada masa sama, PBNJ turut memberi fokus kepada pemain tempatan kerana 90 peratus daripada pemain adalah dalam kalangan orang tempatan yang mampu bersaing.

"Apa yang mustahak, kita bagi tumpuan juga kepada pemain tempatan, tidak macam tempat lain yang mengutamakan pemain import," katanya.

Sementara itu, Rangel berkata dirinya amat bertuah dapat menyertai pasukan terbaik Malaysia serta Asia itu dan sedia memberi komitmen dan prestasi yang baik dalam setiap perlawanan akan datang.

"Saya berjanji kepada Tunku Ismail, jurulatih dan penyokong pasukan, saya akan memberikan yang terbaik sewaktu latihan dan setiap perlawanan," katanya sambil menyatakan minatnya menyarung jersi nombor 9.

Rangel yang menggantikan tempat Luciano Figueroa yang bersara daripada bola sepak, pernah mendapat anugerah Kasut Emas selaku penjaring terbanyak dengan 16 gol pada musim 2014 ketika bersama Selangor.

Sementara itu, rancangan beberapa pasukan tempatan untuk berbelanja besar bagi musim 2016 dilihat seperti mengikut jejak PBNJ yang telahpun berbuat demikian sejak 2013 lagi.

"Itu semua adalah pemasaran, kita sudah mula dulu, mereka sekarang baru nak mula. Sama sahaja prosesnya dan saya suka kerana yang bagusnya kita bantu bola sepak negara menjadi lebih kompetitif, orang lain ikut apa kita buat," katanya.

Menurutnya program akar umbi juga penting bagi menarik penaja dalam usaha mengukuhkan pasukan dan mengekalkan nama JDT di luar negara.

Tunku Mahkota Johor itu turut berkata usaha memantapkan PBNJ dan JDT akan diteruskan menerusi hubungan yang dijalin dengan kelab-kelab ternama di dunia.

Februari depan, Tunku Ismail bakal mengadakan pertemuan dengan pengurusan Kelab Real Madrid, Barcelona, Valencia dan Paris Saint-Germain. - BERNAMA

JDT, Paulo Rangel, TMJ

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain