suria

Durakovic Gembira Bantu Selangor Capai Misi 33

SHAH ALAM: Mehmet Durakovic menyifatkan kejayaan skuad Gergasi Merah mencapai misi 33 dengan merangkul Piala Malaysia selepas 10 tahun sebagai kenangan paling manis yang tidak dapat dilupakan dalam kariernya sebagai jurulatih.

Bekas pemain antarabangsa Australia itu, yang pernah merangkul gelaran berprestij itu sebanyak tiga kali berturut-turut pada 1995, 1996, dan 1997 sebagai pemain bersama skuad itu, memuji anak buahnya atas prestasi cemerlang itu.

Selangor membenam Kedah 2-0 dalam aksi final di Stadium Shah Alam malam ini dengan kedua-dua gol dijaringkan oleh Ahmad Hazwan Bakri pada minit ketiga dan ke-47.

"Sudah 10 tahun untuk Selangor mencapai sasaran ini. Ini adalah detik paling indah untuk saya, keluarga, pemain dan khususnya kejayaan ini adalah hadiah untuk Sultan Selangor sempena ulang tahun keputeraan baginda semalam," katanya.

Dalam pada itu, pengendali pasukan Kedah, Tan Cheng Hoe berpuas hati dengan pencapaian skuad Helang Merah dalam saingan Liga Malaysia musim ini walaupun gagal menambah trofi selepas muncul juara Liga Perdana.

Beliau mengakui kejayaan layak ke final Piala Malaysia merupakan satu bonus kepada pemain skuad Helang Merah setelah mereka mencapai Prestasi Petunjuk Indeks yang ditetapkan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) iaitu naik ke Liga Super musim depan dengan menjuarai Liga Perdana, musim ini.

"Saya berasa bangga dengan pencapaian pemain sepanjang musim ini. Sekiranya dapat memenangi Piala Malaysia, ia merupakan satu bonus kepada kita kerana kita sudah meraih kejuaraan Liga Perdana musim ini," jelas Cheng Hoe.

Mengulas mengenai perlawanan itu, Cheng Hoe mengakui keadaan padang yang agak licin susulan hujan sebelum berlangsungnya perlawanan berkenaan nyata menjejaskan pergerakan pemain skuad Helang Merah untuk memburu gol penyamaan.

Pada masa yang sama, beliau turut berharap agar pemain muda Kedah yang beraksi malam ini dapat menjadikan kekalahan tersebut sebagai pengajaran berguna untuk meningkatkan prestasi masing-masing pada masa akan datang.

Selangore, Kedah, Piala Malaysia

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain