suria

JM2015: Hadiah Kemenangan Dalam Tempoh Sebulan Selepas Tamat Perlumbaan

PUTRAJAYA: Pihak penganjur perlumbaan edisi ke-51 Jelajah Malaysia, Peloton Resources akan membuat pembayaran hadiah wang kemenangan dalam tempoh sebulan selepas tamat perlumbaan.

"Seperti kelaziman, wang hadiah kemenangan akan diberi kepada pemenang dalamtempoh sebulan selepas tamat perlumbaan.

"Walaupun menghadapi kekangan kewangan, saya akan cuba untuk melangsaikannya dalam tempoh itu," kata Ketua Pegawai Operasi Jelajah Malaysia 2015, Musairi Musa ketika ditemui pemberita di sini, Sabtu.

Beliau tidak menolak masalah kewangan timbul akibat ada  penaja yang menarik diri di saat akhir. Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut mengenai penaja yang menarik diri saat akhir ketika perlumbaan telahpun dijalankan.

Menurut beliau, penganjuran perlumbaan Jelajah Malaysia memerlukan sekurang-kurangnya RM1.5 juta. Musairi turut berterima kasih kepada semua pihak dan pasukan yang mengambil bahagian dalam perlumbaan kali ini.

"Saya sebenarnya merasa terharu kerana mereka sanggup membantu sehingga membolehkan perlumbaan ini dapat diteruskan sehingga peringkat terakhir esok (Ahad),"katanya.

Penganjuran perlumbaan berbasikal tertua di negara ini, hampir dibatalkan gara-gara kekangan kewangan.

Perlumbaan yang mendapat pengiktirafan 2.2 oleh Persekutuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) itu hampir tidak dapat diteruskan pada Sabtu, namun semua pihak bersetuju ia tetap dijalankan selepas satu perbincangan yang diadakan dengan semua pihak terbabit.-Bernama

Artikel Berikut

Artikel Lain