suria

Mukhriz Yakin Piala Malaysia Milik Kedah

KUALA LUMPUR: Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir yakin pasukan Kedah akan mampu menjulang Piala Malaysia dalam perlawanan menentang Selangor di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.

"Saya mengakui rasa terkejut sejauh mana kami mampu pergi ... momentum sudah ada, semangat juang dalam kalangan pemain dan penyokong juga tinggi masa ini. Saya merasa begitu yakin kami akan melakukannya dengan baik Sabtu ini.

Apa yang dianggap sebagai mustahil sebelum ini sekarang telah terbukti mengenai pasukan Kedah, dan ianya tidak mustahil, kita telah menjulang Piala Liga Perdana hari itu dan kemungkinan untuk menjulang Piala Malaysia amat tinggi," katanya kepada pemberita di sini, Rabu.

Mukhriz turut berkata walaupun kemampuan Juara Liga Perdana itu dari segi kewangan tidak setanding dengan pasukan Malaysia yang lain namun perkara itu tidak akan menghalang pasukan Kedah untuk terus menunjukkan prestasi yang cemerlang.

Pertemuan antara skuad Hijau Kuning dan skuad The Red Giants mengulangi sejarah pertemuan kedua-dua pasukan itu pada 2008 yang menyaksikan Kedah muncul juara Piala Malaysia selepas menang tipis 3-2 ke atas Selangor.-- Bernama  



Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain