suria

FAM Lantik Bernhardt Jurulatih Skuad Projek Sukan Sea 2017

PETALING JAYA: Bekas pengendali skuad bawah 19 dan 21 tahun (B19 dan B21) Estonia, Frank Bernhardt dilantik sebagai jurulatih skuad Harimau Muda untuk Projek Sukan SEA 2017.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengesahkan jawatan itu milik pengendali berusia 46 tahun berasal dari Kiel, Jerman itu, sekali gus mengatasi dua calon iaitu bekas jurulatih Harimau Muda, Datuk Ong Kim Swee dan Micheal Weiss bagi kekosongan yang diiklankan sejak September lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Petugas Khas FAM ,Datuk Abdul Mokhtar Ahmad berkata pelantikan Bernhardt adalah berdasarkan kata sepakat yang dicapai anggota panel termasuk wakil Majlis Sukan Negara (MSN) pada mesyuarat, Rabu.    

"Jawatankuasa telah bersetuju melantik Bernhardt sebagai jurulatih baharu selepas anggota panel ini menganggap beliau mampu menggalas tanggungjawab ini dengan baik.    

"Pelantikan Bernhardt berkuat kuasa Januari tahun hadapan bagi tempoh dua tahun, sehingga Sukan SEA 2017 berlangsung," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa itu di Wisma FAM.

Abdul Mokhtar berkata Bernhardt diberi mandat untuk meraih pingat emas pada Sukan SEA 2017 dengan Malaysia menjadi tuan rumah temasya sukan dwitahunan itu. 

Mengulas isu pelantikan jurulatih bagi skuad kebangsaan pula, Abdul Mokhtar berkata jurulatih Harimau Malaya akan diumumkan selewat-lewatnya pada akhir Januari depan.

Beliau berkata pihaknya sedang meneliti senarai lebih daripada 70 calon untuk disenarai pendekkan sebelum pemilihan dapat dilaksanakan.

Kim Swee, ketua jurulatih skuad B-23, dilantik FAM menjadi pengendali sementara skuad Harimau Malaya bagi baki lima perlawanan Kumpulan A pusingan kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 bermula dengan perlawanan keempat menentang Arab Saudi di Stadium Shah Alam, 8 September lepas.

Jawatan ketua jurulatih skuad Harimau Malaya kosong setelah Dollah Salleh meletak jawatan susulan kekalahan memalukan 10-0 Malaysia kepada Emiriyah Arab Bersatu (UAE) pada perlawanan ketiga Kumpulan A di Abu Dhabi, 3 September lepas. -Bernama

Frank Bernhardt, Ong Kim Swee

Artikel Lain