suria

PSA Sahkan Kejohanan Skuasy Wanita Dunia Dibatal - SRAM

PETALING JAYA: Persatuan Skuasy Profesional (PSA) mengesahkan Kejohanan Skuasy Wanita Dunia di Kuala Lumpur yang dijadualkan bermula pada Jumaat hingga 18 Disember ini, dibatalkan.

Presiden Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM), Huang Ying How berkata, PSA selaku badan induk skuasy dunia memaklumkan perkara itu kepada SRAM menerusi kenyataan pada Ahad lepas.

Pembatalan itu berikutkan dakwaan isu keselamatan daripada penganjur kejohanan, Kumpulan Hallmark Events (Hallmark).

Pada masa sama, Ying How berkata, SRAM sebagai badan tempatan yang mempunyai hak mengiktiraf kejohanan itu, belum memberikan pengiktirafan kepada penganjurannya.

"Sepatutnya Hallmark datang berjumpa SRAM bagi proses terakhir iaitu menghantar borang bagi tujuan pengiktirafan daripada SRAM...namun kami tidak menerima sebarang proses terakhir daripada Hallmark.

"Berkaitan isu keselamatan, sudah setahun kami berurusan dengan Hallmark bagi perbincangan mengenai kejohanan ini tapi hal keselamatan tidak pernah diutarakan," kata Ying How ketika ditemui di pejabatnya di Damansara Jaya, dekat sini.

Ying How mengakui jika isu keselamatan digunakan penganjur untuk membatalkan pertandingan itu, pihaknya merasakan alasan berkenaan tidak munasabah.

Media tempatan sebelum ini melaporkan Menteri Belia dan Sukan, Khairy  Jamaluddin mendakwa penganjur kejohanan menggunakan alasan keselamatan bagi mendapatkan tajaan RM3.5 juta daripada kerajaan.

Mengulas hal itu, Ying How berkata, Hallmark tidak meminta sebarang bantuan kewangan daripada SRAM, sebaliknya perbincangan hanya berkaitan isu teknikal seperti pengadil daripada SRAM dan sewa gelanggang.

Ying How berkata, pada masa ini, SRAM tidak menerima sebarang maklumat secara bertulis daripada Hallmark mengenai kerugian ataupun keputusan sama ada pertandingan akan diadakan semula atau tidak, kecuali kenyataan pembatalan daripada PSA.

"Oleh kerana pembatalan pertandingan diumumkan agak lewat, ini memberi kesan besar bukan sahaja kepada pemain Malaysia tapi peserta lain kerana mereka sudah membeli tiket penerbangan dan menempah bilik hotel.

"Sepatutnya pada masa ini semua pemain sudah berada di sini. Ini juga kerugian kepada semua pemain Malaysia dan program pembangunan skuasy wanita kebangsaan kerana objektif kita adalah untuk memberikan yang terbaik pada pertandingan itu," katanya.

Pada 2 Disember lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam laman Facebooknya mengarahkan Kementerian Belia dan Sukan serta polis untuk mendapatkan penjelasan daripada penganjur berhubung ancaman keselamatan berkenaan.

Isnin lepas, polis membuka kertas siasatan berhubung dakwaan Hallmark serta sudah berjumpa dengan PSA berhubung kenyataan itu.

Hallmark merupakan syarikat pengurusan acara antarabangsa untuk Kejohanan Skuasy Wanita Dunia bagi edisi 2014, 2015 dan 2016.-- Bernama

PSA, SRAM, Skuay Wanita Dunia, Hallmark

Artikel Sebelum

Keputusan Liga Juara-Juara

Artikel Berikut

Artikel Lain