suria

Harrif Saleh Ketuai Pasukan TSG Ke Jelajah Malaysia 2015

Mohd Harrif Saleh. Foto FAIHAN GHANI / The Star

KUALA TERENGGANU: Pelumba sensasi, Mohd Harrif Saleh akan mengetuai cabaran Pasukan Lumba Basikal Profesional Terengganu (TSG) ke Kejohanan Jelajah Malaysia 2015 bermula Rabu ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Farhan Abdul Wahab berkata, pelumba yang berasal dari Kampung Ladang itu diberikan tanggungjawab tersebut berdasarkan pengalamannya yang luas dalam perlumbaan antarabangsa.

"Kita akan menurunkan lima pelumba terbaik dengan harapan memenangi beberapa peringkat perlumbaan pada jelajah lima hari itu," katanya kepada Bernama di sini, Ahad.

Selain Mohd Harrif, pelumba lain ialah Mohamad Adiq Hussaini Othman, Amirul Fakharudin Marzuki, Mohd Zamri Salleh dan pelumba import Goh Choon Huat dari Singapura.

Perlumbaan edisi ke-51 itu hanya melibatkan peringkat Kuala Lumpur, Putrajaya, Bangi, Nilai dan Shah Alam sebelum berakhir di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

Menurut Farhan, TSG akan menyertai semua acara yang akan dipertandingkan iaitu acara ujian masa perseorangan, berpasukan dan juga acara lebuh raya.

Justeru, katanya, pasukan yang di bawah bimbingan penolong jurulatih Terengganu, Nasirudin Wan Idris itu, kini sedang menjalani latihan intensif untuk menghadapi kejohanan tersebut.

Dalam pada itu, Farhan berkata, sekiranya pihak pengurusan bersetuju, pasukan TSG akan menggunakan khidmat jurulatih dari Slovakia, Adam Szabo bagi menghadapi musim perlumbaan 2016.

Sebelum ini, Szabo menjalani ujian mengendalikan pasukan kelab itu selama sebulan sejak 16 Oktober lepas.

Berhubung pengambilan pelumba import baharu bagi musim 2016, katanya, tiga pelumba berkenaan ialah Daniel Whitehouse, 20, dari New Zealand, Dadi Suryadi, 26, (Indonesia) dan pelumba berusia 21 tahun dar Mongolia, Maral-erdene Batmunkh. - Bernama

Artikel Berikut

Artikel Lain