suria

Sukan Para Asean: Singapura Perlihat Upacara Perasmian Menakjubkan

Kontinjen negara yang diketuai pelari pecut paralimpik negara Mohammad Ridzuan Mohamad Puzi memasuki Singapore Indoor Stadium pada upacara pembukaan Sukan Para ASEAN (APG) Kelapan 2015, Khamis.

SINGAPURA: Singapura menampilkan upacara perasmian yang menakjubkan bagi menandakan bermulanya Sukan Para Asean (APG) ke-8 di sini malam ini walaupun menganjurkan sukan dwitahunan untuk orang kelainan upaya itu buat kali pertama dalam sejarah.

Upacara itu yang menampilkan persembahan oleh 661 penghibur dan 454 pelajar dari 15 sekolah pendidikan khas, 174 sukarelawan dan 120 motivator meniupkan keyakinan dan semangat juang dalam kalangan atlet selain memukau sekitar 6,000 penonton di Stadium Tertutup Singapura di sini.

Persembahan itu yang bersempena dengan sambutan jubli emas republik tersebut, dirancang supaya bebas sekatan untuk semua orang dengan menyediakan interpretasi bahasa isyarat dan paparan sari kata secara langsung untuk penonton kelainan upaya yang menghadapi masalah visual dan pendengaran.

Upacara tersebut, satu-satunya acara sukan itu yang bertiket, dibahagikan kepada lima acara individu khusus untuk menampilkan kekuatan mental dan fizikal  luar biasa individu memiliki semua kebolehan, yang merentasi sempadan; dunia kemungkinan kreatif untuk mencapai yang terbaik; merangsang imaginasi dan meraikan yang luar biasa.

Upacara berwarna-warni itu yang disiarkan secara langsung menerusi televisyen di Singapura, Malaysia dan Filipina serta laman media sosial dirasmikan oleh Presiden Singapura, Tony Tan Keng Yam.

Kontinjen Malaysia diketuai oleh Chef-de-Mission, Dr Ang Kean Koo dan atlet pecut Mohammad Ridzuan Mohamad Puzi yang membawa Jalur Gemilang berarak masuk ke dalam stadium dengan memakai jaket berwarna kuning dan seluar trek berjalur hitam melambangkan 'Harimau Malaya'.

Kontinjen negara terdiri daripada 197 atlet dan 119 pegawai akan menyertai semua 15 acara sukan yang dipertandingkan - badminton, boccia, memanah, olahraga, perahu layar, ping pong, angkat berat, renang, bola keranjang kerusi roda, bola sepak lima sebelah dan tujuh sebelah, goalball, tenpin boling, menembak dan catur.

Sepuluh negara Asia Tenggara yang menyertai edisi sukan itu ialah  Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Filipina, Thailand, Myanmar, Vietnam dan tuan rumah Singapura.

Timor Leste tidak mengambil bahagian selepas Majlis Paralimpik Kebangsaan negara itu digantung oleh Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) minggu lepas.

Pada edisi sebelumnya di Nay Pyi Taw, Myanmar pada Januari 2014, kontinjen Malaysia menduduki tempat ketiga dengan merangkul 49 emas, 46 perak dan 37 gangsa.

Pencapaian terbaik Malaysia ialah pada 2001 apabila menjadi hos bagi edisi julung kali apabila kontinjen negara muncul juara keseluruhan dengan membolot 132 pingat emas.

Sukan Para Asean, acara sukan yang diadakan selepas setiap Sukan Asia Tenggara atau Sukan SEA berlangsung, dipadankan daripada Sukan Paralimpik dan Sukan Para Asia.-- Bernama


Sukan Para Asean, Singapura

Artikel Sebelum

Chong Wei Yakin Dengan Hendrawan

Artikel Lain