suria

Pahang Pasukan Ketiga Layak Ke Suku Akhir Piala Malaysia 2015

Penyokong Pahang bersorak gembira atas kemenangan pasukan negeri yang berjaya ke peringkat suku akhir selepas menewaskan PDRM 3-0.

KUALA LUMPUR: Juara bertahan, Pahang mengiringi Selangor dan Johor Darul Ta'zim (JDT) ke peringkat suku akhir Piala Malaysia 2015 walaupun masih berbaki satu perlawanan.

Kemenangan selesa 3-0 yang dilakar skuad Tok Gajah ke atas Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam saingan Kumpulan D malam ini menyaksikan skuad kendalian Zainal Abidin Hassan itu mengutip sembilan mata selepas lima perlawanan, sekali gus memintas kedudukan PKNS FC di tangga teratas kumpulan.

Pada aksi di Stadium Shah Alam, Pahang membuka jaringan menerusi Dickson Nwakaeme pada minit ke-27 sebelum penyerang import dari Argentina, Matias Conti menambah dua lagi gol untuk pelawat, masing-masing pada minit ke-29 dan 81.

Satu lagi aksi Kumpulan D menyaksikan PKNS FC gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri selepas terikat 1-1 dengan Pulau Pinang di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

Pulau Pinang mendahului PKNS FC hasil jaringan Lee Gil-hoon pada minit ke-16 sebelum Mohd Alif Haikal Mohd Sabri menyamakan kedudukan untuk tuan rumah pada minit ke-43.

Ismail Faruqi Ashari muncul wira Terengganu setelah menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-86 bagi membantu skuad Penyu menang tipis 2-1 ke atas JDT II pada aksi tunggal Kumpulan A di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Johor Baharu.

Terdahulu, kedua-dua pasukan terikat 1-1 dengan Issey Nakajima-Farran membuka jaringan untuk Terengganu seawal minit kelapan sebelum kapten pasukan JDT II, Shahril Ishak menyamakan kedudukan untuk tuan rumah pada minit ke-34.

Ketiga-tiga perlawanan berkenaan yang sepatutnya berlangsung pada 3 Okt lepas, ditangguhkan Jawatankuasa Pertandingan Tempatan Persatuan Bola Sepak Malaysia susulan keadaan jerebu yang teruk. -- Bernama

Pahang, Piala Malaysia, Tok Gajah

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain