suria

Jurulatih Eropah, Afrika Selatan Mohon Bimbing Skuad B-23 - FAM

Mokhtar (tengah) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Sportradar, Carsten Koerl dan Lazarus Jansen Xavier Benny paa majlis pengumuman Kerjasama FAM dan Sportradar pada Rabu.
PETALING JAYA: Posisi ketua jurulatih Bawah 23 Tahun (B-23) negara masih menjadi teka-teki selepas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) terpaksa menangguhkan pengumuman individu yang layak memegang jawatan itu.

Walaupun pada awalnya pengumuman jurulatih B-23 ini bakal dibuat hujung bulan ini, namun ia terpaksa ditunda kerana FAM tidak mahu tergesa-gesa membuat keputusan.

Penolong Setiausaha Agung FAM, Lazarus Jansen Xavier Benny berkata, pihaknya gembira dan berpuas hati dengan sambutan pencalonan yang diterima untuk mengendalikan skuad B-23 ini.

“Kami menerima banyak permohonan, mungkin lebih daripada 100 orang pelbagai latar belakang, bukan sahaja jurulatih tempatan malah dari luar negara termasuk Afrika Selatan hinggalah jurulatih Eropah.

“Ini memberikan satu saingan positif dan dengan pencalonan yang banyak ini kita sudah tentukan perlukan masa untuk menilai setiap permohonan kerana jawatan ini memerlukan kriteria-kriteria tertentu.

“Jurulatih yang hendak dipilih perlukan mempunyai filosofi lengkap yang bersesuaian dengan objektif pasukan ini. Ia bukan sahaja akan tertumpu kepada pasukan B-23 tahun semata-mata, tetapi ia juga berkaitan dengan program pembangunan dan perancangan jangka panjang,” jelasnya ketika ditemui selepas majlis pengumuman Kerjasama FAM dan Sportradar di Wisma FAM pada Rabu.

Jelasnya, selepas dinilai dan memenuhi kriteria yang diperlukan, senarai calon-calon itu akan diserahkan kepada panel perlantikan sebelum diumunkan.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Petugas Khas Mokhtar Ahmad turut mengulas mengenai jawatan utama skuad bola sepak kebangsaan yang kini semakin hampiri tarikh tutup pencalonan pada 31 Oktober ini.

Jelasnya, sehingga kini lebih kurang 30 borang pencalonan diterima dan akan diserahkan kepada bahagian teknikal pemilihan.

“Pemilihan jurulatih kebangsaan ini tidak akan dibuat terburu-buru. Semua senarai pencalonan akan diserah kepada bahagian teknikal pemilihan sebelum diputuskan oleh panel perlantikan.

“Masih ada masa lagi kerana nama jurulatih akan diumumkan pada hujung tahun ini, jadi ada lagi permohonan yang diterima selepas tarikh tutup, kita tetap akan lihat,” katanya.

Selain itu, mengenai kerjasama FAM dan Sportradar, Mokhtar berkata, Sportradar bersetuju menyediakan servis berkaitan dengan data dan produk kepada FAM secara percuma selama tiga tahun.

“Servis tersebut dikenali sebagai Platform Pengurusan Persekutuan (FMP) yang memberikan  servis utama iaitu penyediaan data-data pemain, pengadil dan individu yang terbabit dengan perlawanan, statistik perlawanan sebelum dan selepas dan sebagainya,” jelas Mokhtar.

FAM, Jurulatih, Sportradar

Artikel Sebelum

Artikel Lain