suria

F1: Lewis Hamilton Pelumba Terhebat - Alonso

Alonso (kanan) dan Hamilton ketika bersama pasukan McLaren pada tahun 2007.

FERNANDO Alonso memberitahu kemampuan Lewis Hamilton bergelar juara dunia walaupun tanpa jentera yang sempurna menjadikannya seorang pelumba Formula Satu yang terhebat.

Hamilton mempertahankan gelaran dunia kali ketiga Ahad lalu pada aksi Grand Prix Amerika Syarikat walaupun masih berbaki tiga pusingan.

Rekod kejuaraannya itu meletakkan Hamilton sebaris dengan pelumba legenda Ayrton Senna, Niki Lauda, Jackie Stewart, Jack Brabham dan Nelson Piquet.

"Saya rasakan Hamilton sudah menjadi yang terhebat. Tiga gelaran, seperti Niki dan Ayrton, jadi kita tidak boleh meletakkannya di tahap yang berbeza.

"Dia adalah yang terbaik dalam sukan permotoran dan saya yakin lebih banyak sejarah yang akan dicipta, dan sudah tentu kami menghormatinya.

"Ada masa jatuh dan bangun tetapi apa yang paling positif dalam diri Lewis ialah dia tetap akan menang walaupun jentera yang dipandu itu bukanlah yang terbaik, jika bukan untuk gelaran juara dunia, dia tetap menang untuk pusingan sepanjang musim. Tidak semua pelumba boleh lakukan seperti dia," jelas Alonso.

Alonso yang pernah bergandingan dengan Hamilton ketika bersama McLaren pada tahun 2007 berkata, jumlah persaingan akan bertambah berbanding jumlah gelaran yang akan dikecapi oleh semua pelumba.

"Sukar untuk saya menjangkakan jumlah kemenangan Hamilton seterusnya. Ia bergantung sepenuhnya kepada jentera. Mungkin dia boleh terus menang jika tiada pasukan lain yang mampu menewaskan Mercedes tahun depan," tambah Alonso.

Fernando Alonso, Lewis Hamilton, F1

Artikel Berikut

Artikel Lain