Wee Wern Idam Status No.1 Dunia Dalam Tempoh Lima Tahun - Sukan | mStar

Wee Wern Idam Status No.1 Dunia Dalam Tempoh Lima Tahun

KUALA LUMPUR: Pemain wanita negara, Low Wee Wern yakin dengan kemampuannya untuk memburu status pemain skuasy nombor satu dunia dan merangkul gelaran dunia dalam tempoh lima tahun.

Pemain berusia 25 tahun itu, yang mengalami kecederaan ligamen krusiatanterior (ACL) sejak April lepas, kini sudah bersedia untuk Kejohanan Kebangsaan disusuli Terbuka Hong Kong dan Kejohanan Dunia, Disember ini.

Pada Kejohanan Kebangsaan di Pusat Skuasy Nasional di Bukit Jalil dari 4 hingga 8 Nov ini, Wee Wern, selaku juara bertahan, akan menghadapi saingan sengit daripada pemain nombor tiga negara, Delia Arnold serta bintang meningkat naik, Rachel Arnold, Teh Min Jie dan Vanessa Raj.

"Kembali semula ke gelanggang merupakan satu permulaan besar bagi diri saya. Pada awalnya, doktor tidak membenarkan saya beraksi semula sehingga tahun depan tetapi kini saya sudah cukup pulih.

"Kini sasaran saya adalah untuk bermain tanpa sebarang rasa kesakitan dansaya mula melakukan semula perancangan untuk tahun depan. Saya harap dapat kembali semula kecergasan dengan secepat mungkin," katanya kepada Bernama

"Semua orang mahu melihat pengganti Nicol (Datukl Nicol David). Saya fikir semua pemain tempatan berada di landasan yang betul ke arah itu".

Mengulas ketiadaan acara skuasy dalam Sukan Olimpik 2020, Wee Wern melahirkan kekecewaan selepas menanti dengan penuh harapan agar sukan itu dapat dipertandingkan dalam Sukan Olimpik.

"Ia akan menjadi peluang terbaik (menyertai Sukan Olimpik). Kami masih menaruh harapan acara skuasy dapat disenaraikan dalam Sukan Olimpik pada masa akan datang.

"Impian setiap atlet adalah untuk mengambil bahagian dalam Sukan Olimpik khusus untuk Malaysia yang masih menunggu pingat emas Olimpik yang pertama,"katanya. -Bernama

Low Wee Wern

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Lebih Artikel