suria

Jurulatih Baharu Skuad Kebangsaan Bakal Diketahui 30 Okt Ini

Abdul Mokhtar Ahmad

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih baharu skuad Harimau Malaya bakal diketahui 30 Oktober ini selepas jawatankuasa Pasukan Petugas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menerima laporan daripada panel pemilihan khas.

Pengerusi Jawatankuasa berkenaan Datuk Abdul Mokhtar Ahmad berkata panel pemilihan itu terdiri daripada enam individu termasuk tiga daripada FAM, akan menilai latar belakang 15 calon yang memohon jawatan itu sebelum menyerahkan hasil penilaian kepada jawatankuasa tersebut.

Enam individu itu adalah tiga wakil Majlis Sukan Negara (MSN) selain timbalan pengerusi jawatan kuasa pasukan petugas Datuk Mohd Junid Mohd Noor, bekas jurulatih kebangsaan B. Sathianathan dan Pengarah Teknikal FAM Fritz Schmid.

Abdul Mokhtar yang juga Timbalan Presiden FAM berkata pihaknya akan membuat penilaian lanjut berhubung laporan diterima daripada panel pemilihan itu, sebelum menamakan ketua jurulatih skuad kebangsaan baharu.

"Tiga wakil MSN turut dijemput menjadi sebahagian daripada panel pemilihan memandangkan MSN mengeluarkan kos persediaan skuad Bawah 23 Tahun negara ke Sukan SEA 2017," katanya kepada Bernama pada Jumaat.

Antara individu dilaporkan memohon jawatan berkenaan adalah bekas jurulatih Johor Darul Ta'zim, Bojan Hodak; bekas jurulatih Kelantan, George Boateng dan bekas jurulatih Sarawak, Robert Alberts.

Laporan media asing turut menyatakan bekas jurulatih utama kelab Liga Perdana Inggeris Manchester United, Rene Meulensteen dari Belanda juga berminat dengan 'kerusi panas' berkenaan.

"Beri masa kepada panel pemilihan berkenaan untuk meneliti latar belakang setiap calon terlibat sebelum kita umumkan jurulatih baharu skuad kebangsaan," kata Abdul Mokhtar. 

Ketua jurulatih skuad B-23, Datuk Ong Kim Swee dilantik oleh FAM bagi mengendalikan sementara skuad Harimau Malaya bagi baki lima perlawanan Kumpulan A Pusingan Kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 bermula dengan perlawanan keempat menentang Arab Saudi di Stadium Shah Alam, 8 September lepas.

Jawatan ketua jurulatih skuad Harimau Malaya kosong setelah Dollah Salleh meletak jawatan susulan kekalahan memalukan 0-10 Malaysia kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada perlawanan ketiga Kumpulan A pusingan kelayakan di Abu Dhabi, UAE, 3 September lepas. -Bernama

Artikel Sebelum

Jadual Liga Perdana Inggeris

Artikel Lain