suria

Terbuka Denmark: Cabaran Chong Wei Berakhir Di Pusingan Kedua

KUALA LUMPUR: Cabaran negara di kejohanan badminton Siri Super Terbuka Denmark berakhir selepas wakil tunggal, Datuk Lee Chong Wei tersingkir di pusingan kedua awal pagi Jumaat waktu Malaysia.

Chong Wei yang masih tercari-cari sentuhannya selepas tewas di final Kejohanan Dunia, Ogos lepas, tunduk kepada pemain Hong Kong, Wei Nan 18-21,19-21 dalam pertarungan yang berlangsung selama 45 minit di Odense Sports Park,Odense.

Bulan lalu, Chong Wei gagal melepasi pusingan kelayakan Terbuka Korea, iaitu kali pertama tidak layak bermain dalam undian sebenar sejak Siri Super diperkenalkan pada 2007.

Chong Wei, 32, mara ke pusingan kedua Terbuka Denmark selepas memulakan kempennya dengan menundukkan pilihan kelapan, Kashyap Parupalli dari India 21-14, 21-15.

Wei Nan, kini akan berdepan dengan juara dunia yang juga pemain nombor satu dunia, Chen Long dari China di suku akhir pada Jumaat.

Lee Chong Wei, Terbuka Denmark

Artikel Berikut

Artikel Lain