suria

Perlawanan Piala Malaysia Dijadual Semula 27, 28 Oktober

KUALA LUMPUR: Perlawanan Piala Malaysia 2015 pada minggu keempat, iaitu 3 dan 4 Oktober yang ditunda akibat jerebu, akan diadakan pada 27 dan 28 Oktober ini, kata Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Amin.

Aksi Piala Malaysia antara Johor Darul Ta'zim (JDT) II dan Terengganu di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan Pahang di Stadium Shah Alam dan aksi PKNS FC menentang Pulau Pinang di Stadium Majlis Perbandaran Selayang dijadual semula pada 27 Oktober ini.

Perlawanan antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan Sarawak di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi dan Perak menentang JDT di Stadium Perak, Ipoh pula akan diadakan pada 28 Oktober.

"Sekiranya pasukan JDT layak ke perlawanan akhir AFC Cup yang dijadualkan pada 31 Oktober, kesemua perlawanan yang dijadualkan pada 27 Oktober akan tetap diadakan pada tarikh yang sama manakala kedua-dua perlawanan pada 28 Oktober akan diadakan pada 4 November.

"Lanjutan dari itu, perlawanan pada minggu keenam bagi Kumpulan A dan D akan dijadualkan pada 7 November manakala bagi Kumpulan B dan C pula dijadualkan pada 8 November," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

JDT yang mencipta sejarah sebagai pasukan pertama tanah air untuk berjaya melangkah masuk ke pusingan separuh akhir Piala AFC akan menerima kunjungan juara bertahan, Qadsia SC dari Kuwait pada 20 Oktober ini pada aksi kedua separuh akhir selepas tewas 1-3 dalam separuh akhir pertama.

Mengenai keadaan jerebu yang mengganggu keberlangsungan perlawanan, beliau  berkata Komisioner Perlawanan masih diperuntukkan kuasa untuk menundakan perlawanan sekiranya Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi paras 150.

Piala Malaysia

Artikel Lain