suria

Klopp Janji Bawa Pulang Sekurang-kurang Satu Piala Dalam Tempoh 4 Tahun

Jurgen Klopp kini mengalas tugas yang berat dan mencabar sebagai pengurus Liverpool yang baru. Tetapi beliau berjanji untuk membawa pulang sekurang-kurangnya satu piala dalam tempoh empat tahun.

PENGURUS Liverpool yang baru Jurgen Klopp mengambarkan tanggungjawabnya yang baru di kelab Inggeris itu adalah tugas yang paling mencabar dalam dunia bolasepak.

Warga Jerman berusia 48 tahun itu telah diperkenalkan sebagai pengurus Liverpool mengantikan Brendan Rodgers pada Jumaat.

Dia menandatangani kontrak selama tiga tahun dengan Liverpool.

Liverpool buat masa ini berada di tangga ke-10 liga dengan mengutip hanya 12 mata dari lapan perlawanan.

Bercakap dalam temuramah eksklusif bersama rangkaian televisyen rasmi Liverpool, LFCTV, Kloop menjelaskan, ini adalah satu tugas yang sangat menarik kerana ia menuntut cabaran baru.

Sepanjang kerjayanya, Klopp belum pernah mengurus sebuah kelab di luar Liga Jerman tetapi reputasinya kerana berjaya membawa dua kejuaraan liga kepada Borussia Dortmund sepanjang tujuh tahun mengurus kelab itu telah menjadikannya salah seorang pengurus muda yang paling dikehendaki oleh kelab bolasepak elit Eropah.

"Saya ada membaca di dalam akhbar, situasi semasa Liverpool ibarat satu malapetaka, tetapi bagi saya, Liverpool hanya dipisahkan dengan enam mata dengan kelab yang mendaluhui takhta liga sekarang.

"Jadi ia adalah sangat menarik kerana tidak ada siapa berasa puas atau bersabar dengan situasi kelab ini sekarang. Oleh yang demikian, kita harus memikirkan cara untuk mengubah keadaan ini. Ia kini adalah tanggungjawab saya," katanya lagi.

Menurut Klopp, dia tahu apa yang dikehendaki.

"Pertama saya perlu bersemuka dengan para pemain terlebih dahulu untuk mencari arah yang serupa. Dan siapa yang bersedia untuk melakukan apa yang bakal saya syorkan.

"Siapa sahaja yang bersetuju untuk melakukan apa yang saya inginkan bakal menjadi kawan baik saya dan saya percaya itu bukanlah satu permintaan yang berat," katanya dengan mesej yang jelas kepada para pemain Liverpool.

Pencapaian terbaik Rodgers sepanjang tiga tahun di Liverpool ialah mengemudi mereka ke tempat kedua liga pada musim 2014 tetapi hanya mampu berada di tangga keenam liga pada musim lalu.

Musim ini mereka bermula dengan lembab dengan mencatatkan dua kekalahan dan berada di tangga ke-10.

Klopp, pula di samping memenangi dua kejuaraan Bundesliga, turut membawa Dortmund muncul naib juara Liga Juara-Juara Eropah pada 2013.

"Hakikat bahawa saya sanggup untuk mengalas tanggungjawab ini adalah kerana saya menaruh kepercayaan yang tinggi ke atas potensi pasukan ini.

"Buat masa ini kita mungkin bukan lagi pasukan terbaik dunia tetapi kita mahu menuju ke arah itu pada masa depan. Kita ada masalah sekarang tetapi pada dasarnya kita memiliki pertahanan yang baik, penyerang dan pemain tengah yang bagus.

"Perlawanan seterusnya ialah di Tottenham (17 Oktober nanti). Kita perlu terlebih dahulu menyediakan pasukan yang bakal diturunkan menentang Tottenham nanti," ujarnya.

Sewaktu era Rodgers, Liverpool telah membawa masuk 23 pemain baru dengan membelanjakan £292 juta.

Pada masa yang sama mereka membuat keuntungan dengan menjual Luis Suarez dan Raheem Sterling kepada Barcelona dengan harga £75 juta dan Manchester City dengan harga £49 juta.

Kali terakhir Liverpool muncul juara Liga Perdana Inggeris ialah 25 tahun yang lalu di bawah kendalian legenda kelab, Kenny Dalglish. Ia adalah kejuaraan liga yang ke-18 buat mereka.

"Ya...dua puluh lima tahun yang lalu adalah satu tempoh yang panjang. Tapi marilah kita meletakkan sejarah lama di sebelah buat sementara waktu dan tumpukan perhatian kepada hari baru yang lebih baik.

"Saya yakin, jika saya berada di sini selama empat tahun, kita akan membawa pulang sekurang-kurangnya satu kejuaraan untuk Liverpool," janji Klopp.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain