suria

Tengku Ahmad Tajuddin Tidak Tersenarai Dalam Skuad Kebangsaan

Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil.

KUALA LUMPUR: Penyerang kebangsaan, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil diketepikan daripada senarai 35 pemain yang dipanggil ketua jurulatih, Stephen Van Huizen menjalani latihan pusat skuad hoki negara pada 5 Oktober ini. 

Turut tiada dalam senarai itu adalah penjaga gol veteran, Roslan Jamaluddin dan pemain pertahanan, Azlan Misron yang masing-masing telah mengumumkan persaraan di pentas antarabangsa.

Sebaliknya, Van Huizen menyenaraikan beberapa muka baru seperti Mohammad Hairi Abdul Rahman (penjaga gol), Harmesh Singh, Harmeet Singh (pertahanan), Joel Samuel Van Huizen (tengah), Muhammad Hafiz Zainol dan Faridzul Afiq Mohd (penyerang).

Beliau turut menyenaraikan tiga pemain remaja iaitu Meor Muhammad Azuan Hasan bagi posisi tengah dan dua penyerang Muhammad Shahril Saabah dan Muhammad Haziq Samsul.

"Selain masalah patah tulang selangka kanan, prestasi semasa Tengku Ahmad Tajuddin juga agak menurun.

"Sudah masa untuk kita memandang ke depan...kita tidak boleh menukar semua pemain senior tetapi kami masih mempunyai ramai penyerang yang boleh menggalas tugasnya (Tengku Ahmad Tajuddin)," katanya pada sidang media di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil di sini, Jumaat.

Untuk rekod Azlan memiliki 346 penampilan untuk skuad negara, Tengku Ahmad Tajuddin 206 dan Roslan pula sebanyak 199. 

Stephen dilantik menjadi ketua jurulatih berkuatkuasa pada Khamis bagi menggantikan Tai Beng Hai selepas jurulatih itu berundur berikutan gagal membawa skuad negara ke Sukan Olimpik Rio 2016 pada saingan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia, Julai lepas.

Beliau juga berkata, S. Kumar menyatakan hasratnya untuk bermain sehingga 2018 dan beliau percaya tiga lagi penjaga gol baharu iaitu Mohammad Hairi, Mohd Hafizzudin Othman dan Mohamad Hazrul Faiz Ahmad Sobri, berkebolehan membantu memberi saingan kepada penjaga gol utama negara itu.

"Kita masih mempunyai ramai pemain senior berkebolehan dalam pasukan ini seperti Kumar, Muhammad Razie Abd Rahim, Mohd Sharun Nabil Abdullah, Nabil Fiqri Mohd Noor dan Muhammad Sukri Abdul Mutalib," kata Van Huizen yang juga bekas ketua pasukan negara ke Sukan Olimpik Los Angeles 1984.

Skuad negara dalam persiapan menghadapi kejohanan Piala Sultan Azlan Shah April tahun depan dan mereka juga disasarkan untuk melayakan diri ke Piala Dunia 2018 di Odisha, India. - Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain