suria

Terbuka Malaysia: Ahmad Deedat Mara Ke Aksi Kelayakan Kedua

KUALA LUMPUR: Ahmad Deedat Abdul Razak, satu-satunya pemain Malaysia yang beraksi atas tiket wild card, meneruskan cabaran pada kejohanan Tenis Terbuka Malaysia Kuala Lumpur (MOKL) 2015 selepas melangkah kepusingan kelayakan kedua.

Ahmad Deedat menundukkan pemain Australia Zach Itzstein 7-5 dan 6-3 pada perlawanan pusingan kelayakan pertama di Stadium Putra, Bukit Jalil di sini, Sabtu.

"Saya berasa amat gembira, kemenangan hari ini meningkatkan tahap keyakinan saya. Sekarang saya tahu tahap keupayaan saya dalam tenis...Saya lebih sedar tentang apa yang perlu saya lakukan. Hari ini, saya kurang keamatan untuk memberi tumpuan kepada setiap perlawanan. Saya perlu memberi fokus sepanjang perlawanan.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada ayah saya, yang juga jurulatih saya. Dia membantu saya dalam kerjaya saya. Saya benar-benar menghargai apa yang telah dilakukannya," katanya kepada pemberita selepas perlawanan itu.

Ahmad Deedat akan bertemu pemain Poland Michal Przysiezny pada perlawanan berikutnya.

Dalam satu lagi aksi pusingan kelayakan pertama, tiga pemain Malaysia yang bertanding atas tiket wild card tewas dalam perlawanan perseorangan. 

Pemain nombor satu Malaysia Syed Agil Syed Naguib tumpas kepada pemain Itali Luca Vanni 4-6, 6(3)-7, Christian Oliver Lee tewas kepada pemain Jepun Yasutaka Uchiyama, 1-6,2-6. 

Manakala Mohd Ashaari Zainal Abidin pula dikalahkan oleh pemain Rusia Ilya Vasilyev 7-6, 4-6, 5-6.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain