suria

Mencari Ramli: 12 Pemain Ke Manchester United

Roslan Kassim (kiri, berdiri) bersama pemain-pemain yang terpilih ke MUSS.

KUALA LUMPUR: Seramai 12 pemain yang menyertai program Mencari Ramli Musim Ke-4 terpilih menjalani latihan di Manchester United Soccer School (MUSS) di Denstone College.

Telekom Malaysia (TM) selaku penaja utama program tersebut telah membuat kelainan pada musim ini dengan menghantar satu pasukan ke kelab terkemuka Liga Perdana Inggeris itu berbanding edisi sebelum ini.

Bagi musim satu hingga tiga, hanya tiga pemain terbaik Bawah 14 Tahun dan tiga pemain bagi B-16 Tahun sahaja sahaja dihantar ke Manchester.

Salah seorang jurulatih yang terlibat secara langsung dalam program MR4 ini, Roslan Kassim berkata, inisiatif yang diambil oleh TM ini antara salah satu langkah bagi membantu mencari pemain-pemain muda untuk diketengahkan ke dalam  skuad negara.

"Saya bersama semua pemain dari pelusuk negeri sejak awal  musim program MR4 ini dijalankan. 

"Komitmen dan disiplin yang ditunjukkan mereka sangat baik, dan layak untuk menimba ilmu bersama pasukan terkemuka kelab Inggeris itu," jelasnya kepada mStar online selepas majlis mengumumkan 12 pemain terpilih ke MUSS pada Jumaat.

Sementara itu salah seorang pemain dari Sabah yang terpilih, Raudall Enel Tan mengakui sangat teruja apabila terpilih ke MUSS.

Roudall Enel Tan


"Peluang keemasan saya dan rakan sepasukan untuk menimba ilmu di Manchester United. Sudah lama saya mengidam untuk pergi ke kelab kesukaan saya itu. 

"Bukan mudah untuk berada dalam skuad pemilihan akhir ini dan dengan usaha serta disiplin akhirnya impian saya tercapai," katanya.

Sementara itu, keberkesanan program ini tidak boleh dipandang remeh lagi memandangkan sudah terbukti hasilnya.

Sebagai rekod pemenang edisi 2012, Mohammad Ariff Farhan Mod Isa dan Adam Nor Azlin (B-16) telah berjaya menempatkan diri dalam skuad Harimau Muda A di bawah kendalian Datuk Ong Kim Swee.

Manakala salah seorang pemenang musim itu juga,  Muhammada Nizaruddin Jazi (B-14) telah terpilih untuk menyertai pertandingan kemahiran Manchester United Soccer Schools World Skill Finals yang diadakan pada November 2013 sekaligus menjadi pemain Malaysia pertama yang beraksi di peringkat itu.

Paling membanggakan, MR2 juga turut melahirkan seorang pemain berkaliber, Sean Gan Gianelli yang kini berada di Itali bersama pasukan B-17 Tahun kelab Serie D, U.S Arezzo.

Malah Sean juga tersenarai dalam, 'Top 20 Southeast Asian Rising Star' oleh Goal.com.
MUSS, Mencari Ramli

Artikel Berikut

Artikel Lain