suria

Laporan Siasatan Kemalangan Rozi Dihantar Kepada Khairy Isnin Depan

Nur Rozi Yanti terjatuh dan dirempuh van pengiringnya ketika selesai menjalani latihan.

PETALING JAYA: Jawatankuasa siasatan kemalangan membabitkan pelumba pelapis berbasikal lebuh raya wanita negara, Nur Rozi Yanti Mat Rodzi sudah melengkapkan siasatan dan akan menyerahkan laporan hasil siasatan mereka kepada Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar pada Isnin.

"Hari ini, jawatankuasa siasatan sudah melengkapkan siasatan. Satu laporan dan syor akan dikemukakan kepada menteri selepas mengambil keterangan daripada semua pihak yang terlibat.

"Beliau (Khairy Jamaluddin) akan mengumumkan sebarang tindakan selanjutnya," kata Timbalan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Ab Jalil Abdullah kepada Bernama di Hospital KPJ Damansara, di sini, Jumaat.

"Jawatankuasa juga turut memberikan cadangan untuk mengemas kini prosedur latihan yang diamalkan kerana ia melibatkan keselamatan atlet. Laporan akan disiapkan hari ini selepas menyertakan keterangan Nur Rozi, kerana hari ini baru kami mendapat kebenaran dari doktor untuk menemu bual dia," kata Ab Jalil.

Beliau yang juga pengerusi jawatankuasa siasatan berkata lapan individu, iaitu dua jurulatih, lima atlet termasuk Nur Rozi Yanti dan seorang pemandu van merangkap mekanik telah disoal-siasat oleh jawatankuasa itu.

Mengenai tindakan yang telah diambil terhadap pemandu van, beliau berkata: "Pemandu tersebut telah digantung buat sementara waktu, namun keputusan akan diumumkan oleh menteri nanti."

Berhubung keadaan terkini Nur Rozi Yanti, beliau berkata atlet kelahiran Perlis itu kini lebih ceria dan berhasrat untuk meneruskan latihannya selepas pulih sepenuhnya daripada kecederaan.

Sementara itu, Timbalan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Datuk Naim Mohamad berkata penambahbaikan prosedur yang bakal dilakukan itu bukan sahaja melibatkan pelumba berbasikal peringkat kebangsaan, malah ia turut melibatkan pelumba di peringkat negeri dan kelab di seluruh negara.

"Penambahbaikan tersebut turut meliputi aspek-aspek teknikal untuk meningkatkan tahap keselamatan atlet kita kerana atlet berbasikal mempunyai kebarangkalian yang tinggi untuk terlibat dengan kemalangan yang boleh menyebabkan maut," kata Naim, yang juga timbalan pengerusi jawatankuasa penyiasatan itu.

Pelumba berusia 17 tahun itu terlibat dalam kemalangan di Km19, Lebuhraya SILK Kajang ketika menjalani latihan bersama pelumba lain pada pukul 9.45 pagi, 5 September lepas.

Laporan awal polis sebelum ini menyebut Nur Rozi Yanti terjatuh daripada basikalnya ketika membetulkan kedudukan kakinya yang kebas sebelum dilanggar van pengiring yang mengekorinya.

Nur Rozi Yanti telah dipindahkan ke Hospital KPJ Damansara dari Hospital Kajang pada 13 September lepas bagi mendapatkan rawatan pakar.

Maklumat terkini, beliau dibenarkan keluar dari Hospital KPJ Damansara pukul 10 pagi Sabtu dan akan pulang ke rumahnya di Simpang Ampat, Perlis.

Menurut Naim, Nur Rozi Yanti bagaimanapun perlu merujuk kepada klinik berhampiran dengan kediamannya untuk mencuci luka.

"Akan kembali ke MSN pada 30 September," kata Naim melalui aplikasi Whatsapp. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Keputusan Piala Malaysia 2015

Artikel Berikut

Artikel Lain