suria

Piala Malaysia: Tarikh Baru Untuk Perlawanan JDT Lawan Sarawak

KUALA LUMPUR: Aksi bola sepak Kumpulan B Piala Malaysia antara Sarawak dan Johor Darul Ta'zim (JDT) pada 26 Sept ini akan diubah ke tarikh baharu berikutan kejayaan skuad Harimau Selatan mara ke separuh akhir Piala AFC.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM Datuk Seri Afandi Hamzah berkata pihaknya sudah dimaklumkan oleh pengurusan JDT dan sedang melihat tarikh yang sesuai untuk perlawanan berkenaan diadakan di Stadium Negeri, Kuching.

"Sekretariat Pertandingan FAM sedang meneliti tarikh sesuai kerana kita perlu mengambil kira penglibatan pasukan tempatan dalam saingan Piala AFC musim ini.

"Kita akan melihat semula jadual Piala Malaysia bagi memberi ruang kepada JDT bertanding pada Piala AFC serta mempunyai tempoh rehat yang mencukupi sebelum meneruskan saingan dalam Piala Malaysia," kata Afandi.

JDT menjadi pasukan tempatan pertama layak ke separuh akhir Piala AFC menerusi kemenangan agregat 4-2 ke atas wakil Hong Hong, South China, Selasa lepas.

Skuad Harimau Selatan dijadual menentang juara bertahan, Qadsia SC dari Kuwait di separuh akhir yang berlangsung mengikut format timbal balik, pada 29 Sept dan 20 Okt ini.

Piala Malaysia, JDT, Sarawak

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain