suria

FAM Bakal Digantung Jika Gagal Jawab Surat Tunjuk Sebab

PUTRAJAYA: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berdepan penggantungan pendaftaran sekiranya badan induk itu gagal menjawab notis tunjuk sebab yang dihantar Pesuruhjaya Sukan berhubung kekecohan yang berlaku di Stadium Shah Alam Selasa lalu.

Menurut Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin meminta Pesuruhjaya Sukan, Datuk Zaiton Othman memberi surat kepada FAM bagi menjelaskan apa yang berlaku ketika aksi Malaysia menentang Arab Saudi bagi pusingan Kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019.

"Surat sudah dihantar oleh Datuk Zaiton semalam (Rabu). Surat ini berdasarkan peruntukkan Akta Pembangunan Sukan yang memberi kuasa kepada pesuruhjaya sukan untuk mengarahkan sesiapa mendedahkan maklumat yang diperlukan.

"Kandungan surat itu meminta maklumat terperinci insiden yang perlu dijawab dalam tempoh 14 hari bermula tarikh surat dihantar pada 9 September," jelasnya kepada pemberita selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Program Pembangunan Sukan Pilihan Antara Majlis Sukan Negara Dan Persatuan Sukan Kebangsaan, Khamis.

Jelas Khairy, selepas menerima maklum balas penjelasan, barulah pesuruhjaya sukan mengambil apa sahaja tindakan yang difikiran sesuai terhadap FAM.

"Kalau meraka menjawab dalam tempoh 14 hari tetapi kami tidak berpuas hati dengan jawapan tersebut, pesuruhjaya sukan ada hak untuk menggantung FAM, tetapi perlu melalui proses dan hak menjawab.

"Ini juga termasuk apa sahaja  tindakan yang termaktub dalam Sesyen 20 (1) (6) yang memberi kuasa kepada pesuruhjaya sukan untuk membatal atau menggantung pendaftaran badan sukan yang tidak membetulkan apa sahaja salah, amalan salah laku atau luar aturan di pihak pemegang jawatan atau anggotanya dalam tempoh yang ditentukan dalam notis bertulis yang diberi oleh pesuruhjaya sukan," katanya yang mengakui kecewa dengan apa yang berlaku.

Tambah Khairy, insiden tersebut bukan sahaja membawa kepada risiko keselamatan tetapi memalukan negara.

"Walaupun marah atau tidak berpuas hati dengan FAM, bukan itu caranya. Saya pun marah, tetapi bukan dengan cara ini. Ini amat tidak dibenarkan.

"Dan sudah tentu salah FAM juga kerana gagal menghalang insiden ini daripada berlaku walaupun banyak risikan mendapati bahawa perkara ini akan berlaku," katanya.

FAM, KBS

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Rajagobal Kembali Sebagai Jurulatih

Artikel Lain