suria

Kim Swee Mungkin 'Angkat Kaki'

PETALING JAYA: Belum pun reda dengan insiden kekecohan yang ditimbulkan Ultras Malaya, peminat-peminat bola sepak tanah air terpaksa mendengar satu lagi berita buruk kemungkinan Datuk Ong Kim Swee juga mahu 'angkat kaki' sebagai jurulatih sementara kebangsaan.

Kim Swee yang menggantikan Dollah Salleh mengakui gembira dengan aksi pemain-pemainnya ketika menentang Arab Saudi pada pusingan Kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 di Stadium Shah Alam, Selasa lalu namun terpaksa akur dengan keputusan komisar perlawanan dari India, Prince Rufus yang menamatkan perlawanan tersebut.

Keputusan tersebut dibuat selepas permainan dihentikan pada minit ke-88 selama 30 minit oleh pengadil Liu Kwok Man dari Hong Kong gara-gara tindakan liar kumpulan penyokong yang membaling bom asap, bunga api dan suar ke arah padang.

Ketika insiden itu berlaku, Arab Saudi mendahului Malaysia 2-1.

Tindakan tersebut dikatakan sebagai protes selepas pasukan negara tewas 10-0 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) minggu lalu sekaligus  mahu memberi tekanan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Pastinya perkhabaran mengenai Kim Swee ini menambahkan lagi 'pening' kepada FAM yang berdepan dengan pelbagai berita buruk dalam satu masa.

Bagaimanapun Kim Swee enggan bercakap mengenai masa depannya dan hanya mahu memberi fokus terhadap perlawanan sahaja.

Malaysia masih berbaki empat perlawanan dalam pusingan kelayakan, namun kempen merebut tempat sudah berakhir apabila hanya mengutip satu mata sahaja dengan mencatat seri 1-1 ke atas Timor Leste pada aksi pembukaan,  tewas 6-0 kepada Palestin dan dimalukan UAE 10-0 yang menyebabkan Dollah Salleh meletak jawatannya.

Walaupun Kim Swee belum membuat keputusan mengenai masa depannya, dijangka beliau akan meninggalkan skuad kebangsaan selepas menerima tawaran daripada pasukan Liga Malaysia.

Kontraknya bersama FAM akan tamat pada Disember ini dan beliau bebas untuk berbincang dengan mana-mana pasukan dalam tempoh tiga bulan terakhir.

Manakala Malaysia akan meneruskan aksi kelayakan ini  bertemu Timor Leste di Dili pada 13 Oktober ini, tetapi kemungkinan tanpa Kim Swee.

Ong Kim Swee, Harimau Malaya

Artikel Sebelum

Rajagobal Kembali Sebagai Jurulatih

Artikel Berikut

Artikel Lain