suria

Kim Swee Serah Nasib Harimau Malaya Kepada FIFA

Anggota bomba memadam suar yang dibaling ke padang.
SHAH ALAM: Ketua jurulatih Harimau Malaya, Datuk Ong Kim Swee menyerahkan nasib pasukan negara kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) susulan kekecohan ditimbulkan penyokong tempatan ketika aksi antara Malaysia berdepan Arab Saudi di Stadium Shah Alam, Selasa malam.


Perlawanan Pusingan Kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 itu terpaksa dihentikan pengadil Liu Kwok Man dari Hong Kong pada minit ke-88, berikutan  tindakan liar segelintir penyokong yang bertindak membaling suar dan mercun roket ke kawasan padang.

"Terpulang kepada FIFA untuk membuat keputusan kemudian. Segala keputusan kita akan terima, dan kita terpaksa menerima padahnya," kata Kim Swee yang terkilan dengan insiden kekecohan itu.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas perlawanan berkenaan.

Berdasarkan peraturan, FIFA boleh membuat keputusan sama ada meneruskan perlawanan berbaki dua minit itu, atau memberikan kemenangan 3-0 kepada Arab Saudi.

"Saya rasa tidak perlu saya bercakap tentang perkara itu (kekecohan)...ia memalukan tetapi pemain menunjukkan satu permainan yang cukup baik. Mereka mengikut arahan dan bekerjasama antara satu sama lain, dan kita hampir melakukan kejutan," kata Kim Swee.

Dalam pada itu, pemain pertahanan negara, Mohd Razman Roslan kecewa dengan sikap segelintir penyokong yang menimbulkan kekecohan ketika Malaysia berada dalam keadaan terbaik untuk melakar kejutan ke atas Arab Saudi.

"Saya kecewa dengan sikap segelintir penyokong dan berharap insiden ini tidak berulang," kata ketua pasukan Pahang itu.

Berkongsi nada sama ialah pemain tengah kebangsaan, Baddrol Bakhtiar yang menyifatkan tindakan liar penyokong negara itu adalah perbuatan yang tidak sepatutnya dilakukan.

"Mereka (penyokong) perlu bersikap positif dan terus beri sokongan. Bagi saya ia satu tindakan yang tidak sepatutnya berlaku," kata pemain tengah Kedah.

Penjaga gol skuad negara, Khairul Fahmi Che Mat pula tidak menyangka segelintir penyokong bertindak menimbulkan kekecohan dengan membaling suar ke dalam padang walaupun perlawanan masih berlangsung. -Bernama     

"Saya berasa malu dengan tindakan liar segelintir penyokong dan ia memberi kesan negatif kepada pasukan kita selaku tuan rumah," katanya.
Ong Kim Swee, FIFA, suar

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain