suria

Terbuka AS 2015: Halep, Azarenka Bertemu Di Suku Akhir

Aksi Simona Halep ketika menentang pemain Jerman Sabine Lisicki, awal pagi Selasa.
NEW YORK: Pemain pilihan kedua Simona Halep berjaya mengatasi kecederaan dan suhu panas 30 darjah celcius pada Isnin untuk pertama kali layak ke suku akhir Terbuka Amerika Syarikat.

Dia akan berdepan dengan naib juara dua kali, Victoria Azarenka.

Halep memerlukan 2 jam 38 minit, dan juga rehat selama 10 minit, untuk mengenepikan pemain pilihan ke-24 dari Jerman, Sabine Lisicki 6-7 (6/8), 7-5, 6-2.

Halep, 23, dari Romania pertama kali berada dalam lapan pemain terakhir yang berentap di suku akhir di New York sejak Irina Spirlea layak ke separuh akhir pada 1997.

Tetapi kejayaannya diperoleh dengan cara yang sukar, dengan membiarkan dua mata set terlepas pada set pertama dan memerlukan masa rehat untuk kecederaan paha kirinya.

"Sukar dipercayai apabila buat pertama kali saya berjaya melangkah ke suku akhir di Terbuka Amerika Syarikat. Ia adalah perlawanan yang gila," kata Halep selepas mencatat kemenangan keempat berturut-turut ke atas naib juara Wimbledon itu sejak 2013.


"Saya agak letih tetapi saya akan menjadi sangat tidak berpuas hati dengan diri saya jika saya tewas."

Sementara itu Azarenka layak ke suku akhir Terbuka AS buat kali keempat dalam masa empat tahun dengan kemenangan 6-3, 6-4 ke atas pemain Varvara Lepchenko dari AS.

Bekas pemain nombor satu dunia itu yang mengalami kecederaan, muncul di Stadium Arthur Ashe dengan kedua-dua tangan berbalut ketat.

Azarenka adalah naib juara kepada Serena Williams pada tahun 2012 dan 2013.

Artikel Berikut

Keputusan Terbuka AS 2015

Artikel Lain