suria

Kecederaan Menghantui Skuad Negara Hadapi China Esok

KUALA LUMPUR: Kecederaan pemain menghantui skuad negara apabila berdepan dengan juara bertahan, China, pada perlawanan kedua Kumpulan A di Kejohanan Hoki Piala Remaja Wanita Asia 2015 di Wujin, Changzhou, China, Isnin.

Jurulatih Lailin Abu Hassan berkata beberapa tonggak utamanya mengalami kecederaan ketika mengalahkan Singapura 2-0 pada perlawanaan pembukaan, Sabtu.

Antara mereka ialah ketua pasukan, Surizan Awang Noh, yang mengalami kecederaan lutut kiri dan Nurain Hidayah pula otot hamstring, katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Ahad.

Beliau menggesa anak didiknya khusus barisan tengah untuk memikirkan idea kreatif untuk menembusi benteng pertahanan China yang sentiasa 'berkampung' di kawasan kotak penalti ketika pasukan lawan melancarkan serangan.

"Kami akan menilai semula persembahan kami serta mengkaji rentak pasukan lawan sebelum berusaha menampilkan prestasi yang lebih baik terhadap salah satu pasukan kuasa besar itu di rantau ini," kata Lailin.

China akan membuka kempen mempertahankan kejuaraan pada edisi ketujuh ini dengan menentang Korea Utara, Ahad.

Selepas pertemuan dengan China pada Isnin, Malaysia akan berdepan dengan Korea Utara pada Selasa ini sebelum mengakhiri jadual perlawanan pusingan awal dengan menentang India pada Khamis ini.

Perlawanan dalam Kumpulan B, melibatkan empat pasukan iaitu Korea Selatan, Jepun, Thailand dan Taiwan.

Tiga pasukan teratas dalam kejohanan ini akan layak ke Piala Dunia Remaja 2016 di Chile dari 26 November hingga 4 Disember tahun depan. - BERNAMA

hoki

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain