suria

Bangkit Cipta Lembaran Baharu Menentang Arab Saudi - Kim Swee

Ong Kim Swee.

PETALING JAYA: Ketua jurulatih sementara skuad Harimau Malaya, Datuk Ong Kim Swee meminta pemain negara supaya membuka lembaran baharu dengan melakar keputusan positif ke atas Arab Saudi pada perlawanan Pusingan Kelayakan Piala Dunia 2018 dan Kelayakan Piala Asia 2019 di Stadium Shah Alam, Selasa ini.

Pengendali skuad Bawah 23 (B-23) negara itu menegaskan, pemain perlu membuktikan bahawa mereka mampu bangkit selepas diaibkan dengan kekalahan memalukan 10-0 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada aksi ketiga kumpulan A di Abu Dhabi, Khamis lepas.

"Tak guna kita fikir tentang keputusan perlawanan lepas tetapi memberi fokus kepada persediaan diri sendiri," katanya ketika ditemui pemberita pada sesi latihan skuad berkenaan di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Kelana Jaya,Ahad.

"Kekalahan lalu memberi pengajaran kepada kita supaya berfikir secara kolektif demi kebaikan (bola sepak negara)," kata Kim Swee yang mengambil alih sementara kedudukan Dollah Salleh yang meletakkan jawatan susulan kekalahan memalukan itu.

Pengendali kelahiran Melaka itu berkata, skuad kebangsaan mampu melakukan sesuatu ke atas Arab Saudi yang berada pada ranking ke-93 dunia namun harus mempamerkan satu persembahan terbaik ketika menyarung jersi negara.

Dalam pada itu, beliau yakin kehadiran beberapa pemain muda yang dipanggil semalam, bakal memberi lebih banyak pilihan kepadanya untuk merencanakan strategi terbaik menentang Arab Saudi nanti.

Antara pemain berkenaan, kata Kim Swee adalah pemain Perak, Mohd Nurridzuan Abu Hassan Saari boleh beraksi di bahagian pertahanan kiri dan sayap kiri selain pemain skuad Harimau Muda B (Bawah 22), Adam Nor Azlin di posisi pertahanan dan jentera tengah.

Selain dua pemain berkenaan, beliau turut menyenaraikan tiga pemain lain iaitu penjaga gol skuad B-22, Ramadhan Hamid, Mohd Fadhli Shas (Johor Darul Ta'zim) dan pemain Kelantan, Ahmad Fakri Saarani.

Kim Swee turut menggugurkan enam pemain lain iaitu penjaga gol Perak, Zamir Selamat dan pertahanan Terengganu, Muhammad Zubir Mohd Azmi selepas masing-masing mengalami kecederaan di samping Mohd Nor Farhan Muhammad, Ahmad Syamim Yahya, Syahrul Azwari Ibrahim dan S Kumaahran.

Malaysia kekal menghuni tangga tercorot Kumpulan A selepas mencatat satu keputusan seri dan dua kekalahan termasuk diaibkan 0-6 oleh Palestin pada aksi terdahulu di laman sendiri. - BERNAMA

Harimau Malaya, Ong Kim Swee

Artikel Sebelum

Hamilton Muncul Juara GP Itali

Artikel Berikut

Artikel Lain