suria

FAM Lantik Ong Kim Swee Pengendali Sementara Harimau Malaya

Ong Kim Swee

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih skuad bawah 23 (B-23) kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee dilantik sebagai pengendali sementara skuad Harimau Malaya, berkuatkuasa serta-merta.

Beliau menggantikan Dollah Salleh yang meletak jawatan, semalam susulan kekalahan memalukan 0-10 pasukan negara kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada perlawanan ketiga pusingan kelayakan Piala Dunia 2018 dan kelayakan Piala Asia 2019 di Abu Dhabi pada Khamis.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam satu kenyataan memaklumkan pelantikan Kim Swee, 45, mendapat perkenan Presiden, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

FAM menjelaskan pemilihan Kim Swee turut dibuat memandangkan beliau pernah mengendalikan skuad Harimau Malaya secara sementara selama empat bulan dari 3 Februari 2014 sehingga 28 Jun 2014 selepas badan induk itu memutuskan tidak menyambung kontrak Datuk K Rajagobal, yang tamat pada 31 Dis 2013.

Selain itu, Kim Swee masih mempunyai kontrak bersama FAM sehingga penghujung tahun ini selepas beliau membimbing skuad B-23 negara pada Sukan SEA di Singapura, Jun lalu.

Kenyataan yang sama turut menyebut Kim Swee menyatakan komitmen untuk melatih secara sementara skuad kebangsaan sehingga FAM menemui calon ketua jurulatih baharu yang sesuai.

Beliau turut membawa bersama penolongnya, Brad Maloney dari Australia serta jurulatih penjaga gol skuad B-23, Yong Wai Hwang untuk menggantikan tempat dua penolong jurulatih kebangsaan, Reduan Abdullah dan Wan Mustaffa Wan Ismail serta jurulatih penjaga gol, Omar Salim, yang turut mengikut jejak langkah Dollah.

Kim Swee bertanggungjawab membimbing skuad Harimau Malaya bagi menghadapi lima aksi Kumpulan A pusingan kelayakan bermula dengan perlawanan keempat menentang Arab Saudi di Stadium Shah Alam, Selasa ini.

Kenyataan itu turut memaklumkan Timbalan Presiden FAM, Datuk Abdul Mokhtar Ahmad, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas, ditugaskan untuk memulakan proses pencarian ketua jurulatih baharu yang bersesuaian termasuk calon luar negara.-- Bernama


Ong Kim Swee, Harimau Malaya, FAM

Artikel Berikut

Artikel Lain