suria

FAM Perlu Ambil Risiko Ketengahkan Skuad Pelapis

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) perlu melupakan skuad kebangsaan kendalian Dollah Salleh dan mengetengahkan barisan pelapis daripada pasukan bawah 23 (B-23) dan 19 tahun (B-19).

Bagi Majlis Sukan Negara (MSN), FAM harus bersedia mengambil risiko mengetengahkan skuad pelapis yang belum matang tetapi mempunyai semangat mahu mencipta nama untuk menarik minat pasukan negeri dan kelab.

Ketua Pengarahnya, Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, apa yang pasti, tindakan segera perlu diambil bagi menghadapi baki saingan pusingan kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 itu.

Menurut Ahmad Shapawi, sudah tiba masanya FAM mengetengahkan skuad B-23 kendalian Datuk Ong Kim Swee, yang tentunya mahu 'memasarkan' diri untuk dilamar pasukan negeri atau kelab bagi karier jangka panjang mereka.

"Skuad B-23 pasti akan bermain bermati-matian bagi menunjukkan kebolehan untuk dibeli pasukan negeri dan kelab tetapi cuma masih mentah berdepan saingan antarabangsa, berbanding pemain senior yang mempunyai reputasi dan nilai yang tinggi di negeri atau kelab.

"Di Eropah, Jepun, Korea Selatan dan sebagainya, seseorang pemain itu akan lebih tinggi nilainya jika mempamerkan aksi berkualiti dalam skuad kebangsaan tapi di sini pemain itu akan lebih bernilai jika bermain di negeri atau kelab," katanya kepada Bernama.

Ini susulan kekalahan besar 10-0 skuad Harimau Malaya kepada Emiriyah Arab Bersatu (UAE) 10-0 dalam pusingan kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 yang menjadi episod memalukan dalam sejarah bola sepak negara.

Ahmad Shapawi bagaimanapun mengakui saingan kelayakan Piala Dunia/Piala Asia bukan sesuatu yang mudah, namun dengan memberi peluang kepada skuad B-23 untuk tugasan itu, kemungkinan ada sesuatu yang boleh dibuktikan pemain muda yang mempunyai semangat berkobar-kobar mencari kemenangan.

Bekas pemain kebangsaan, Dali Omar turut menyokong agar skuad B-23 diketengahkan walaupun kredibiliti mereka di peringkat antarabangsa masih boleh dipersoalkan.

Katanya, kalau mengikut 'buku', sesebuah pasukan khususnya remaja, perlu bermain sekurang-kurangnya 40 perlawanan secara berperingkat sebelum layak beraksi di pentas antarabangsa.Namun menurut bekas penyerang kebangsaan itu adalah lebih baik melatih pemain muda untuk membentuk skuad kebangsaan berbanding memanggil pemain senior bagi perlawanan tertentu.

Dali, 69, antara pemain Malaysia yang beraksi di luar negara pada 1972 bersama kelab Azzuri, Australia, turut menawarkan khidmatnya membantu FAM dalam usaha memulihkan semula prestasi bola sepak negara.

"Saya, Dali Omar, masih hidup. Saya pernah main di luar negara, kenapa saya tidak boleh didik pasukan negara saya. Ini sanggup buang duit berjuta-juta, upah penasihat teknikal yang dah kena tolak entah dari mana-mana, tapi tidak mahu tanya orang lama. Saya ada...Wan Zawawi (Wan Yusof) ada.

Dali turut menegaskan disiplin dan semangat juang yang tinggi dalam diri seseorang pemain itu penting untuk memastikan kejayaan sesebuah pasukan serta menentukan kualiti pemain.

Katanya, pemain kini lebih dimanjakan manakala jurulatih pula lebih suka berlembut kerana bimbang pemain akan 'lari' dan tidak lagi berminat menyertai skuad kebangsaan.

"Kena mula dengan perbaiki cara pemakanan, jaga tidur, disiplin diri, berlatih bersungguh-sungguh, jaga stamina. Kalau bagi saya, tahulah saya hendak 'basuh' pemain kita terutamanya yang remaja. Tidak perlu panggil (Sir Alex) Ferguson," katanya dalam nada penuh kekecewaan.

Sementara itu, bekas pemain pertahanan negara, Datuk Santokh Singh berkata Dollah tidak boleh dipersalahkan semata-mata kerana kekalahan besar itu, dan pada masa sama meminta FAM memberi peluang kepada skuad B-19 yang tewas 0-5 kepada Thailand di separuh akhir Kejohanan AFF Bawah 19.

"FAM perlu simpan mereka sama ada kalah 5-0, 6-0 atau 10-0... Itu akan menjadi satu pasukan yang baik untuk disimpan dan digilap. Kita perlukan skuad pelapis.

"Kekalahan (Harimau Malaya) sudah terjadi, kenapa semua orang menentang mereka? Hanya kerana mereka kalah 10-0. Jangan lupa, ketika waktu saya, kita ada 'Kuwait Debacle', sebab itu saya katakan beri peluang kepada pemain itu.

Beliau mengimbas kembali "Kuwait Debacle' di mana Malaysia gagal di pusingan kelayakan Piala Dunia 1982 apabila tewas 1-2 kepada Korea Selatan, dan dibelasah tuan rumah Kuwait 0-4 sebelum seri 2-2 dengan Thailand.-- Bernama



Artikel Berikut

Artikel Lain