suria

Program Asean Unity Run Perlu Dijadikan Acara Tahunan - KJ

Khairy dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed turut menyertai acara Larian Perpaduan Asean 2015 yang bermula dan berakhir di Padang Merbok, Ahad. Larian anjuran Aman Malaysia itu merupakan sebahagian daripada aktiviti sempena Malaysia selaku Pengerusi Asean 2015 sekaligus menggalakkan perkumpulan serantau dan perpaduan di kalangan rakyat.

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin menyarankan supaya program 'Asean Unity Run' dijadikan sebagai acara tahunan sempena sambutan Hari Asean.

Beliau berkata, program anjuran Aman Malaysia itu membuktikan acara sukan bukan sahaja dapat menyatukan rakyat Malaysia tetapi juga mengeratkan hubungan antara negara anggota kumpulan serantau berkenaan.

"Saya gembira pada pagi tadi dapat berjumpa dengan duta-duta dari negara Asean. Program sebegini perlu diteruskan lagi, kalau boleh dijadikan acara tahunan kerana kita dapat mengeratkan hubungan kita dengan negara-negara lain dengan lebih luas lagi," katanya kepada pemberita pada acara itu di Padang Merbok di sini.

Khairy berkata Asean Unity Run 2015 yang melibatkan 10,000 peserta dari lebih 20 negara itu berjaya mengutip dana berjumlah RM33,000 yang akan diserahkan kepada Tabung Kemanusiaan Kanak-Kanak Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef).

Sementara itu Presiden Aman Malaysia, Datuk Mohamed Hazali Abu Hassan berkata acara berkenaan mampu mempromosi nilai-nilai ASEAN, perpaduan dan harmoni dalam kalangan negara anggota.

"Saya percaya kita telah mencapai objektif kita dalam membantu untuk menjalin hubungan lebih erat dan perpaduan dalam kalangan komuniti sementara memberi peluang kepada rakyat pelbagai lapisan dan peringkat umur untuk mengambil bahagian dalam aktiviti ini secara aktif dan cergas," kata Mohamed Hazali.

Acara sejauh 21 kilometer itu didominasi pelari Kenya apabila mereka membolot ketiga-tiga tempat pertama dalam kategori lelaki dan wanita.

Sigei Barnaba mencatat masa 1 jam 5 minit dan 20 saat mengalahkan Rotich Zablon Kipngetich dan Wairuri Antony yang masing-masing mencatat masa 1'05:25s dan 1'07:03 dalam kategori Terbuka Lelaki.

Dalam ketegori 21 Km Terbuka Wanita, Ruto Beatrice Jepkorir muncul juara mengalahkan Esther Wambui Karimi dan Tarus Gladys Jepkechei.

Jepkorir mencipta masa 1'19:01s sementara Karimi (1'19:13s) dan Jepkechei (1'22:12s).

Pemenang tempat pertama membawa pulang RM5,000, tempat kedua dan ketiga masing-masing RM3,000 dan RM2,000.-- Bernama

Artikel Lain