suria

Pahang, Lions XII Mara Ke Separuh Akhir Piala FA

Pemain Pahang Mathias Conti (jersi kuning) cuba menjaringkan gol semasa bertemu pasukan Pulau Pinang dalam perlawanan Piala FA di Stadium Bandaraya, Rabu malam. Pahang mendahului dengan 2-0 dalam separuh masa pertama

KUALA LUMPUR: Juara bertahan Pahang dan wakil Singapura, Lions XII mengesahkan slot ke separuh akhir Piala FA setelah mengalahkan lawan masing-masing pada aksi suku akhir kedua, Rabu malam.

Pahang yang menang 2-0 ke atas Pulau Pinang pada aksi pertama di Stadium Darul Makmur, 7 April lepas, terikat 2-2 pada aksi timbal balik di Stadium Bandaraya, malam ini.

Dua gol Pahang dijaringkan oleh penyerang import dari Nigeria, Dickson Nwakaeme pada minit keenam dan ke-10 sebelum Hilton Mauro Moreira menyamakan kedudukan untuk Pulau Pinang pada minit ke-77 dan 87.

Keputusan itu, bagaimanapun tidak menghalang skuad Tok Gajah untuk mara ke separuh akhir menerusi agregat 4-2.

Pahang bakal berdepan Kelantan pada aksi separuh akhir, awal bulan depan.

Kelantan selaku juara dua kali Piala FA, melangkah ke separuh akhir susulan kemenangan dengan agregat 4-1 ke atas wakil kelab Lembah Klang, Sime Darby FC dalam satu lagi aksi suku akhir.

Dalam pada itu, Lions XII mengalahkan pasukan Liga Perdana, JDT II 2-0 di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Johor Baharu, malam ini untuk mara dengan agregat 4-0.

Untuk rekod, Lions XII menang 2-0 pada aksi suku akhir pertama di Stadium Jalan Besar, 8 April lepas.

Pada aksi di Johor Baharu itu, Muhammad Khairul Nizam Mohammad Kamal meledak gol pertama Lions XII setelah menanduk masuk hantaran daripada abangnya, Muhammad Khairul Amri pada minit ke-19 sebelum Muhammad Nazrul Ahmad Nazari mengesahkan tiket ke separuh akhir menerusi gol kedua pada minit ke-64.

Mereka dijadual menentang Terengganu pada aksi separuh akhir.

Terengganu mara ke separuh akhir setelah mengatasi Perak dengan agregat 3-1 pada satu lagi aksi suku akhir.

Perlawanan separuh akhir akan diadakan mengikut format timbal balik pada 8 dan 9 Mei bagi separuh akhir pertama, diikuti aksi timbal balik pada 15 dan 16 Mei.-- Bernama

Pahang, Lions XII, Piala FA

Artikel Lain