suria

Tiada Halangan Untuk Persatuan Hantar Atlet Elit Ke Sukan SEA - KJ

Khairy (dua, kiri) ketika Pelajar Terbaik Sijil Lanjutan Teknologi Hospitaliti Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kemasik Norzafirah Abd Halil (kanan) pada Majlis Konvokesyen IKBN Kementerian Belia dan Sukan kali Ke-11 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, Isnin. Turut hadir Ketua Pengarah Bahagian Pembangunan Kemahiran Kementerian Belia dan Sukan Zainuddin Yahaya.

PUTRAJAYA: Persatuan sukan tidak dihalang menghantar atlet elit dan senior ke Sukan SEA selagi jumlah mereka seimbang dengan atlet junior, kata Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata, walaupun Sukan SEA dianggap sukan pembangunan namun persatuan sukan tidak dihalang untuk menghantar atlet senior jika terdapat keperluan untuk mereka mendapat pengalaman sebelum bertanding dalam acara yang lebih besar.

"Contohnya dalam kes (Datuk) Lee Chong Wei dia sudah lama berehat sejak enam bulan lepas, jadi jika BWF (Persekutuan Badminton Dunia) melepaskan dia (daripada kes doping) apa salahnya untuk dia bertanding sebagai medan latihan.

"Begitu juga dengan Pandelela Rinong. Dia boleh bertanding di Sukan SEA sebagai persediaan untuk Sukan Olimpik tahun depan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Konvokesyen Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) ke-11, di sini, Isnin.

Jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei yang sedang menunggu keputusan BWF mengenai kes dopingnya dan ratu terjun negara Pandelela Rinong antara dua atlet elit yang disebut bakal bertanding pada Sukan SEA di Singapura, bermula 5 hingga 16 Jun ini.

Ditanya sama ada atlet elit yang bertanding diwajibkan memenangi pingat pada temasya itu, Khairy berkata beliau hanya mengharapkan yang terbaik daripada mereka.

"Saya tidaklah mewajibkan, tetapi kalau 'level' Chong Wei dan Pandelela kita harap pingat emas tidak menjadi masalah bagi mereka," katanya.

Sementara itu mengulas mengenai gesaan pelbagai pihak agar aktiviti sukan dikecualikan daripada Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), beliau berkata mereka harus menerima hakikat bahawa GST telah dilaksanakan dan ada barangan yang tidak boleh dikecualikan.

"Kita sudah ada satu senarai pengecualian GST yang agak besar, jika ditambah lagi nanti orang lain pun akan minta juga dan senarainya tidak akan tamat di situ," katanya.

Khairy bagaimanapun berharap GST tidak menjadi penghalang kepada rakyat Malaysia untuk terlibat dalam aktiviti sukan.-- Bernama


Khairy Jamaluddin, atlet, Sukan SEA, PWF

Artikel Lain