suria

Keputusan Kes Doping Chong Wei Mungkin Ambil Masa Beberapa Hari

Lee Chong Wei.
AMSTERDAM: Sesi pendengaran kes doping membabitkan Datuk Lee Chong Wei yang ditunggu-tunggu bermula di hadapan tiga ahli panel Persekutuan Badminton Dunia (BWF) di sini pada Sabtu.

"Sesi pendengaran bermula di sebuah hotel dekat Lapangan Antarabangsa Schiphol," kata seorang pegawai yang enggan namanya didedahkan kepada agensi berita AFP.

Peguam Chong Wei yang berpangkalan di London, Mike Morgan enggan memberikan komen sebelum sesi pendengaran bermula yang dilakukan secara tertutup dengan media tidak dibenarkan membuat liputan di hotel tersebut.

BWF juga enggan memberikan sebarang komen dengan salah seorang pegawainya, Gayle Alleyne berkata:"Bukan waktu yang sesuai, BWF akan berkomunikasi sekiranya dikehendaki."

Namun, pegawai tersebut berkata tiada keputusan dijangka pada Sabtu kerana panel memerlukan beberapa hari untuk mencapai keputusan dan menulis laporan mereka.

"Ia adalah isu yang sangat teknikal," kata pegawai itu.

Pada bulan lalu, pemenang pingat perak Sukan Olimpik dua kali itu memberitahu The Star bahawa beliau berharap sesi pendengaran itu dapat membersihkan namanya dan membenarkan beliau beraksi pada Sukan Olimpik 2016.

"Tolong doakan yang terbaik untuk saya (sesi pendengaran). Apa yang saya mahukan adalah untuk membersihkan nama saya dan kembali ke arena badminton," tulisnya dalam Twitter baru-baru ini.

Chong Wei berdepan hukuman penggantungan selama dua tahun kerana gagal melepasi ujian doping sewaktu menyertai Kejohanan Dunia di Copenhagen, Denmark Ogos tahun lalu.

Sampel air kencing Chong Wei didapati positif menggunakan bahan terlarang, dexamethasone. - AFP

kes doping, Chong Wei

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain