suria

Badminton: Frost Tetap Tenang Aksi Hambar Di Singapura

PETALING JAYA: Cerita sama, lokasi berbeza. Itu sahaja gambaran prestasi pemain-pemain badminton negara pada aksi Terbuka Singapura yang kini sedang berlangsung sejak Selasa lalu.

Rentetan aksi hambar terus dihidangkan di Stadium Tertutup Singapura (SIS) dua hari selepas berakhirnya prestasi sama pada Terbuka Malaysia.

Aksi terbaik pemain-pemain Malaysia sama ada pemain di bawah naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mahupun kelab bebas hanya dapat dilihat dalam saingan kedua sahaja yang membabitkan pasangan beregu negara, Jian Yi Lee/Peiy Zhean Lim, Mohamad Arif Abdul Latif (perseorangan lelaki), Jing Yi Tee (perseorangan wanita), Wei Feng Chong (perseorangan wanita), Amelia Alicia Anscelly/ Fie Cho Soong (beregu wanita), Kah Ming Chooi/Yai Han Ow serta serta V Goh V Shem/Tan Wee Kiong (beregu badminton).

Manakala dua pemain perseorangan yang menjadi sandaran Daren Liew dan Zulfadli Zulkifli tersingkir pada aksi pertama.

Bagaimanapun, keputusan hambar yang berterusan ini tidak merisaukan Pengarah Teknikal BAM, Morten Frost Hansen yang menganggap semua pemain dalam fasa menstabilkan diri.

"Mereka semua cuma tidak bernasib baik bertemu dengan lawan yang lebih sukar pada aksi pertama.

"Jika dinilai berdasarkan prestasi, semua pemain beraksi dengan baik. Cuma sekarang saya masih menunggu laporan penuh jurulatih," kata bekas jurulatih Denmark ini.

Jelas Frost, beliau akan terus memastikan semua pemain dan jurulatih akan bekerja keras bagi meningkatkan prestasi skuad badminton negara.

"Bagi saya, situasi seperti ini perlu dihadapi dengan tenang dan jangan cepat panik. Jika setiap program diikuti, saya percaya situasi akan berubah," jelasnya.

Morten Frost

Artikel Lain