suria

Juara Piala 1Malaysia Bakal Terima Pengalaman Kampus Yayasan Real Madrid

KUALA LUMPUR: Yayasan Rakyat 1Malaysia (YR1M) mengumumkan juara Kejohanan Bola Sepak Piala 1Malaysia, bakal menerima hadiah tambahan.

Yayasan itu dalam satu kenyataan berkata, selaras dengan slogan 'Bukan Sekadar Piala', juara berpeluang menghadiri kem bola sepak khas iaitu Piala 1Malaysia-Pengalaman Kampus Yayasan Real Madrid.

Selain itu, pasukan yang memenangi Anugerah Fair Play berpeluang menghadiri pengalaman kampus tersebut.

Kejohanan Bola Sepak Piala 1Malaysia sentiasa lebih daripada sekadar piala," kata Ketua Pegawai Eksekutif YR1M Ung Su Ling.

"Satu objektif utama kejohanan ini ialah pembangunan pemain secara holistik bagi menyediakan mereka ke arah kerjaya profesional. Dengan memperkenalkan Anugerah Fair Play dan Piala 1Malaysia-Pengalaman Kampus Yayasan Real Madrid, kami menekankan nilai murni dan semangat kesukanan dalam kalangan pemain," katanya.

Pengalaman Kampus selama lima hari yang dikendalikan Yayasan Real Madrid itu, menggabungkan bola sepak dan pendidikan.

Selain latihan bola sepak, pemain muda juga diajar nilai-nilai yang diterapkan oleh Real Madrid kepada masyarakat iaitu kerja berpasukan, kepimpinan, saling menghormati dan kerja keras.

Sementara itu, Yayasan Real Madrid berkata mereka sangat teruja untuk menjalinkan kerjasama dengan YR1M kerana kedua-dua organisasi itu berkongsi matlamat yang sama dalam pembangunan belia.

Kejohanan Bola Sepak Piala 1Malaysia merupakan pertandingan bola sepak Bawah 19 Tahun yang dianjurkan YR1M dengan kerjasama Yayasan Laureus Sport for Good.

Pusingan akhir kejohanan berkenaan bermula 5 April lepas di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan perlawanan akhir akan diadakan di Stadium Bola Sepak Mindef, Jalan Padang Tembak, esok.

Juara akan menerima hadiah wang tunai RM15,000, pingat serta sijil. -- Bernama



Artikel Sebelum

T-Team Dahului Liga Perdana

Artikel Lain