suria

Chong Wei Kini Akui Lebih Tabah

Chong Wei kini akui semakin tabah.
KUALA LUMPUR: Dua bulan pertama merupakan waktu yang sukar untuk Lee Chong Wei.

Bekas pemain nombor satu dunia itu menjelaskan, beliau berhenti memegang raket selama tiga minggu apabila terdengar berita mengenai isu dopingnya.

"Cuba anda bayangkan apa yang saya rasa.

"Selalunya saya hanya mengambil beberapa hari sahaja untuk berehat seperti pada perayaan Tahun Baru Cina dan itulah masa paling lama saya tidak bermain badminton.

"Apabila teringat kembali isu ini, saya tahu saya kini lebih kuat berbanding beberapa minggu pertama yang penuh dengan keadaan kelam-kabut," kata Chong Wei.

Chong Wei dilihat lebih tenang dan bersedia untuk berhadapan dengan tiga ahli panel bebas Persekutuan Badminton Dunia(BWF) bagi membersihkan namanya serta melepaskan diri daripada penggantungan selama dua tahun.

BWF telah memaklumkan kepada Persatuan Badminton Malaysia(BAM) mengenai keputusan Chong Wei yang gagal dalam ujian doping semasa kejohanan Dunia di Copenhagen pada 2 Oktober tahun lalu.

Penggunaan bahan dexamethasone yang diharamkan ditemui dalam ujian air kencing beliau.

Chong Wei memberitahu beliau memerlukan keberanian yang tinggi untuk menghadapi kebenaran dan meneruskan kehidupan.

"Saya tidak menipu tetapi saya juga tidak boleh menunding jari kepada orang lain jadi saya perlu tabah dalam menghadapi isu ini.

"Saya telah berlatih selama enam bulan sementara menunggu perbicaraan kes ini. Ia juga dapat membantu saya menjadi lebih cergas," kata pemain berusia 32 tahun itu.

Menurut Chong Wei dia berasa lebih tenang dalam menghadapi perbicaraan kerana sokongan kuat yang diterimanya sejak beberapa bulan lalu.

"Saya tidak malu untuk berhadapan dengan orang ramai kerana saya tahu saya tidak melakukan apa-apa kesalahan dan penyokong saya juga tidak mengeluarkan kata-kata hinaan sebaliknya memberi sokongan dan galakan kepada saya.

"Peguam saya, Mike Morgan telah menjalankan satu siasatan penuh berkenaan kes ini dan saya berpuas hati dengannya.

Keluarga, terutamanya isteri saya, Wong Mew Choo dan para peminat telah memberikan sokongan kuat kepada saya.

"Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dan pihak BAM juga menunjukkan sokongan kepada saya," ujarnya.

Apa sahaja keputusan yang dibuat oleh ahli penal BWF, Chong Wei mengakui bahawa bukan mudah bagi dirinya untuk membuat penampilan semula. 

"Saya berharap dapat dibenarkan bermain semula selepas selesai perbicaraan ini dan jika itu berlaku, saya akan berusaha untuk memperbetulkan beberapa perkara," kata pemain No.16 dunia itu.

"Saya mahu memperbaiki kedudukan saya dalam ranking dunia dan menyertai kejohanan dan bermain semula."

Chong Wei berkata, beliau mempelajari banyak perkara kesan daripada isu tersebut dan tidak akan mengambil mudah terhadap sesuatu perkara selepas ini.

"Sudah tentu dalam hidup ini ada naik dan turunnya. Dan apa yang penting ialah bagaimana anda bangkit semula walau apapun yang terjadi," kata Chong Wei.

"Saya juga belajar untuk menghargai orang lain dengan lebih baik kerana ada kawan yang akan meninggalkan kita apabila dalam kesusahan tetapi ada juga yang akan sentiasa memberi sokongan.

"Saya berharap isu ini dapat diselesaikan dengan baik dan jika saya dibenarkan bermain semula, itu akan menjadi motivasi dan suntikan semangat untuk melakukan yang terbaik pada Sukan Olimpik di Rio de Janeiro pada tahun hadapan," katanya.
Lee Chong Wei, doping, BWF, BAM

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain