suria

Piala FA: Lions XII Catat Dua Gol Selesa Ke Atas JDT

Christopher Van Huizen melengkapkan gol kedua Lions XII.

KUALA LUMPUR: Peluang pasukan Lions XII semakin cerah untuk mara ke separuh akhir Piala FA selepas menundukkan Johor Darul Ta'zim II (JDT II) 2-0 pada perlawanan suku akhir pertama di Stadium Jalan Besar di Singapura, malam Rabu.

Pasukan tuan rumah membuka jaringan seawal minit kelima apabila Khairul Amri Kamal yang mendapat umpanan Faritz Hameed, berjaya mengelecek pertahanan lawan sebelum menewaskan penjaga gol JDT II Mohd Anis Faron.

Perlawanan babak pertama tamat dengan kedudukan 1-0. Babak kedua menyaksikan JDT II mula mengatur serangan kemas ke arah gawang tuan rumah, namun ketangkasan penjaga gol Lions XII berjaya menangkis percubaan berbahaya pasukan pelawat itu.

JDT II memperoleh peluang pada babak kedua perlawanan menerusi Akram Mahinan pada minit ke-67, namun beliau gagal menyempurnakan hantaran Baihakki Khaizan di depan pintu gol lawan.

Pada minit ke-70, pasukan pelawat berpeluang menyamakan kedudukan namunShahril Ishak yang berada di hadapan pintu gol gagal menguis masuk hantaran lintang Mohd Syafuan Reduwan.

Dalam usaha mencari gol penyamaan, pasukan pelawat kemudian dihukum bermain dengan 10 pemain apabila Baihakki dilayangkan kad merah pada minit ke-81 kerana mengasari pemain tuan rumah.

Anak buah Fandi Ahmad mencuri peluang atas kekurangan pasukan pelawat itu untuk menjaringkan gol kedua menerusi rembatan kaki kiri pemain gantian Christopher Van Huizen pada minit terakhir perlawanan.

Lions XII bakal bertandang ke Stadium Pasir Gudang, Johor untuk perlawanan suku akhir kedua pada 22 April ini. 

Piala FA, Suku Akhir

Artikel Sebelum

Keputusan La Liga

Artikel Berikut

Artikel Lain