suria

Kes Doping: Persiapan Yang Terbaik, Kini Hanya Doa - Khairy

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin meminta semua rakyat Malaysia agar berdoa menjelang hari pendengaran jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei berkaitan dengan kes doping di Amsterdam  pada 11 April ini.


Khairy berkata, tidak ada apa lagi yang boleh dilakukan kini melainkan doa.

“Kita sudah lakukan yang terbaik. Semua persiapan untuk hari pendengaran sudah dilakukan, malah semua bukti sudah dikumpul melibatkan pihak Institut Sukan Negara (ISN), para doktor yang merawat Chong Wei dan sebagainya.

“Malah Persatuan Badminton Malaysia (BAM) telah melantik salah seorang peguam sukan terkemuka, Mike Morgan untuk mengendalikan kes ini. Saya dimaklumkan upahnya bukan murah,” jelasnya kepada media selepas majlis perasmian Web Portal dan Booklet Sukan SEA 2015 di Majlis Sukan Negara (MSN) pada Rabu.

Jelas Khairy, semua pihak berharap agar beliau boleh menjawab segala persoalan yang diaju kepadanya tanpa perlu takut dan ragu-ragu.

“Saya akan menghubunginya sebelum hari pendengaran nanti. Saya tahu beliau okay dan dalam masa sama saya berharap semua rakyat Malaysia berdoa agar semuanya berjalan lancar.

“Saya tidak jangkakan apa-apa kerana segala keputusan di tangan Persekutuan Badminton Dunia (BWF). Mereka akan menghubungi BAM memaklumkan segala keputusan sebaik sahaja semuanya selesai,” katanya.

Bekas pemain nombor satu dunia itu gagal dalam ujian dadah pada separuh akhir Kejohanan Dunia di Copenhagen Ogos lalu sekaligus digantung sementara oleh BWF pada 11 November lalu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain