suria

Cub Prix: Affendi Mahu Halang Penguasaan Honda

MOHD Affendi Rosli menanam tekad untuk menamatkan penguasaan jentera Honda di Litar Batu kawan menjelang saingan pusingan kedua Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS yang akan berlangsung pada 11 dan 12 April ini.

Jentera Honda jelas menguasai litar Batu Kawan sepanjang beberapa musim lepas dengan dua kemenangan berturut-turut melalui dua pelumba yang kini beralih ke saingan Moto2 Kejuaraan GP Dunia, Azlan Shah Kamaruzaman pada tahun 2013 dan Mohd Zaqhwan Zaidi pada tahun 2014.

Kali terakhir pelumba yang menggunakan jentera Yamaha memenangi saingan di Batu Kawan ialah pada tahun 2012 melalui Mohd Zamri Baba yang kini telah beralih ke pasukan Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing.

Malah semangat pelumba PETRONAS Yamaha CKJ itu turut membara untuk menebus kegagalan yang dialami sewaktu pusingan pertama di Temerloh setelah terpaksa menarik diri seawal pusingan kedua pada perlumbaan akhir akibat masalah teknikal jentera.

Prestasi serupa dialami rakan sepasukan Affendi, Ahmad Afif amran apabila sekadar menamatkan perlumbaan di tempat ke-12 manakala pelumba baru pasukan, Mohd Fitri Ashraff Razali menunjukkan prestasi baik apabila berjaya menempatkan diri di kelompok 10 pelumba yang layak ke Superpole.

"Permulaan kami tidak begitu baik pada musim ini. Jentera kami tidak berada pada tahap terbaik ketika sesi kelayakan sehingga kami gagal melayakkan diri ke Superpole.

"Kami bermula dari barisan belakang dan sukar untuk memberikan saingan untuk mengejar pelumba di hadapan. Meskipun mencuba, namun keadaan lebih teruk apabila jentera saya mengalami kerosakan seawal pusingan kedua," tambahnya.

"Perlumbaan di Temerloh sangat mengecewakan, bukan sahaja kepada saya, malah kepada pasukan juga. Namun begitu, kami perlu melupakan kegagalan tersebut dan perlu bangkit di Batu Kawan minggu ini. Mudah-mudahan kami tidak mengulangi kesilapan di Temerloh.

"Pada masa sama, saya juga sukakan bentuk litar di Batu Kawan dan berharap dapat menyekat penguasaan Honda dari mencipta kemenangan hatrik di sana," jelas Affendi.

cub prix, Mohd Affendi

Artikel Berikut

Artikel Lain