suria

FAM Bincang Cadangan Gabung Piala FA & Piala Malaysia

Hamidin (tiga,kiri) bersama-sama Ketua Pembangunan Tottenham Hotspur FC Aidan Mullally (tiga,kanan) serta Duta Tottenham Hotspur FC, Ledley King (dua,kiri) dan para penaja menunjukan jersi Malaysia dan kelab selepas sidang media sempena kunjuangan pasukan Tottenham Hotspur ke Malaysia untuk piala AIA di Subang, Selasa. Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan membincangkan cadangan untuk menggabungkan Piala FA dan Piala Malaysia menjadi satu pertandingan.

Perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM akan datang, kata Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin.

"Ini adalah untuk kebaikan kepada pasukan kebangsaan tapi kita kena tengok juga nilai komersial, kita tidak mahu pasukan negeri kata perlawanan begitu berkurangan. Ini semua kita akan ambil kira," katanya.

Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim baru-baru ini menyuarakan pendapat itu berikutan jadual padat liga telah menjejaskan prestasi pemain dalam aksi liga serta menjejaskan prestasi mereka ketika mewakili skuad kebangsaan. 

Mesyuarat itu juga akan nanti turut membincangkan mengenai isu melibatkan penjaga gol Johor Darul Ta'zim (JDT II), Mohd Anis Faron yang ditahan polis selepas perlawanan membabitkan pasukannya menentang Pulau Pinang di Stadium Bandaraya pada Jumaat lepas.

Mohd Anis ditahan mengikut Akta Kesalahan Kecil 1955 Pindaan 1987 kerana mengeluarkan perkataan kesat terhadap anggota pasukan keselamatan yang bertugas ketika saingan Liga Perdana di stadium berkenaan. 

"Laporan sudah dapat, kita akan bincang dalam mesyuarat tatatertib akan datang. Laporan penuh sudah dapat. Perkara ini telah dilihat oleh Jawatankuasa Undang-Undang FAM dan akan terus dibawa ke mesyuarat tatatertib," kata Hamidin.

Beliau berkata, beberapa kes lain yang belum diselesaikan sebelum ini juga akan turut dibincangkan.

Hamidin Mohd Amin, FAM

Artikel Lain