suria

Kafa Intai Pemain Import Baru

KOTA BAHARU: Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) sedang meneliti beberapa pemain import baharu untuk dibawa masuk setelah prestasi hambar dipamerkan oleh pemain import sedia ada dalam pasukan itu.

Presidennya Tan Sri Annuar Musa berkata pasukan itu memerlukan perubahan dari segi pemain import sekiranya Kelantan mahu terus mencabar kejuaraan pada musim ini.

"Kita sedang membawa beberapa lagi pemain import, hari itu kita dah bawa dua pemain iaitu Gonzalo Bonafina dan Federico Fioramonti dari Argentina dan kita tidak puas hati.

"Dua lagi pemain dah sampai iaitu pemain kebangsaan Benin, Adjai Moussa dan pemain kebangsaan Nigeria, Austin Amutu. Kita juga membuat jemputan kepada pemain dari Brazil dan Macedonia, mereka akan sampai (dalam masa terdekat)," katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini, Ahad malam.

Beliau berkata kedudukan pemain import sedia ada akan dinilai apabila pasukan Kelantan bertemu Sime Darby dalam saingan Piala FA, Rabu ini.

"Dalam minggu ini kita akan tengok perlawanan dengan Sime Darby untuk kita buat keputusan muktamad tentang kedudukan pemain import kita.

"Ini untuk memberi keadilan (untuk pemain import) dan selepas itu Kafa akan buat satu ketetapan, kalau keadaan memerlukan kita menukar (pemain import), kita tidak teragak-agak kerana kita mahu pasukan jadi kuat," katanya.

Sebelum ini, jurulatih baharu Kelantan Mohd Azraai Khor Abdullah dilaporkan berkata pasukan itu perlu membuat rombakan barisan pemain import sedia ada bagi memantapkan lagi kesebelasan utama pasukan itu.

Jendela perpindahan pemain dibuka bermula April ini dan Kelantan kini memiliki empat pemain import iaitu Emmanuel Kenmogne dari Cameroon, Isaac Pupo dari Liberia, Jonathan McKain dari Australia dan Erwin Carillo dari Colombia.

Pada musim ini, Kelantan mempamerkan aksi hambar dalam saingan Liga Super selepas hanya mampu mencatatkan dua kemenangan dalam enam perlawanan dan kini berada pada kedudukan kelapan liga dengan tujuh mata.

Ketika ditanya adakah tiket perlawanan pasukan Kelantan yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV di sini akan dikenakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP), Annuar berkata tiket perlawanan akan dikenakan cukai berkenaan.

"Kalau kita nak serap CBP, kita pun dah memang miskin kalau tidak bertambah miskin ditambah beli pemain baharu, kos lagi.

"Jadi kita tidak boleh bermurah hati dari segi itu (CBP) tetapi kalau ingin (harga) dinaikkan macam mana, astaka berapa dan terbuka berapa, anggota jawatankuasa (AJK) KAFA akan putuskan tetapi telahpun disahkan tiket ada CBP," katanya.

Kafa, Kelantan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain