suria

Terbuka Malaysia: Pemain No.1 Dunia Saina Tewas Separuh Akhir

Saina terkandas pada aksi suku akhir kepada pemain utama China, Li Xuerui.
KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan wanita No.1 dunia, Saina Nehwal tewas pada aksi  separuh akhir Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia kepada juara tahun lalu, Li Xuerui di Stadium Putra Bukit Jalil, pada Sabtu.


Saina yang baharu diangkat sebagai pemain nombor satu dunia pada Khamis lalu tewas kepada pemain pilihan pertama kejohanan ini, 21-13 17- 21 20-22  dalam tempoh satu jam lapan minit. 

Jaguh badminton India ini menguasai permainan pada set pertama sebelum juara Olimpik dari China itu bangkit pada set kedua bagi memastikan perlawanan dibawa ke rubber-set.

Pada set penentuan, Saina yang merampas kedudukan dunia daripada Li Xuerui  berpeluang untuk terus mengutip mata selepas lawannya itu mengalami masalah di bahagian lutut kanan ketika kedudukan mata 11-7.

Bagaimanapun selepas pemain bertukar tempat, Li kembali unggul dengan membuat hantaran rali panjang serta memaksa Saina bekerja keras mengawal hantaran di bahagian depan.

Aksi kedua-dua pemain semakin sengit apabila Saina mendahului 16-15 sebelum membuat kesilapan mudah sehingga mencatat seri.

Saina yang baharu bergelar juara Terbuka India di laman sendiri minggu lalu membuat kesilapan demi kesilapan sehingga Li Xuerui menggunakan peluang itu untuk memastikan kemenangan mutlak 22-20 menjadi miliknya untuk ke pentas akhir bertemu juara di Kejohanan Dunia 2014 dari Sepanyol, Carolina Marin. 

Sebelum itu, Marin,21, selaku pemain pilihan keenam kejohanan menewaskan pemain China, Wang Shixian 21-17 24-22.

Sebagai rekod, Saina muncul sebagai wanita pertama negara itu menduduki ranking nombor satu dunia dalam sejarah sukan badminton selepas menjuarai Kejohanan Terbuka India di New Delhi, Ahad lepas. 

Saina, 25, menjadi  pemain badmiton kedua India dinobatkan sebagai jaguh nombor satu dunia selepas pencapaian Prakash Padukone dalam kategori lelaki pada 1986.

Selain itu, dalam aksi beregu wanita menyaksikan pasangan Korea Selatan berjaya menyingkir pemain beregu pilihan kelapan China, Tian Qing/Xia Huan 24-22 21-15 untuk bertemu sepasang lagi gandingan dari Tembok Besar China itu,  Luo Ying/Luo Yu pada aksi akhir nanti.

Luo Ying/Luo Yu itu menewaskan rakan senegara Ou Dongni-Xiaohan Yu 17-21 21-19 21-9 dalam tempoh 1 jam 08 minit.

Dalam aksi beregu campuran pula, pasangan China akan bertemu sesama sendiri apabila Zhang Nan/Zhao Yunlei menewaskan beregu campura dari Indonesia, Tontowi Ahmad dan Liliyana Natsir, 21-19 14-21 21-11.

Gandingan Zhang-Zhao akan bertemu  Xu Chen/Ma Ji selepas menang tanpa bertanding ke atas rakan senegaranya, Liu Cheng/Bao Yixin.


Artikel Lain