suria

Prosiding Adil dan Telus Buat Chong Wei - BWF

Lee Chong Wei.
KUALA LUMPUR: Persekutuan Badminton Dunia (BWF) memberi jaminan bahawa keputusan prosiding kes doping Datuk Lee Chong Wei adalah "adil dan telus".  

Setiausaha Agung BWF Thomas Lund berkata adalah penting bagi badan itu untuk memastikan keseluruhan proses prosiding dijalankan secara profesional demi kepentingan sukan itu.

"Justeru itu, adalah penting untuk menjadikan proses prosiding itu bersifat adil, profesional dan telus, itulah apa yang kami boleh lakukan untuk sukan.  

"Kami tidak akan mengumumkan nama anggota panel, ia adalah panel yang dipilih dan benar-benar bebas," katanya kepada pemberita selepas mengumumkan jalinan kerjasama BWF dengan Total sehingga 2018, di luar acara Siri Super Premier Terbuka Malaysia di Stadium Putra, Bukit Jalil di sini, Khamis.

Beliau berkata anggota panel itu terdiri daripada pakar-pakar guaman, perubatan dan teknikal, yang disyorkan oleh persekutuan di seluruh dunia.

Lund menegaskan bahawa BWF tidak memberi layanan berbez dalam mengendalikan kes Chong Wei, dengan mematuhi prosedur standard bagi mengendalikan kes-kes doping.  

Chong Wei, yang kini digantung sementara kerana gagal ujian dadah pada Kejohanan Dunia di Copenhagen Ogos tahun lepas, boleh digantung sehingga dua tahun jika didapati bersalah.

Peguam Malaysia B. Jadadish Chandra akan mengetuai peguam Mike Morgan, seorang pakar mengenai undang-undang sukan berpangkalan di London, yang dibayar Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bagi prosiding mendengar kes doping bekas pemain nombor satu dunia itu pada 11 April di Amsterdam, Belanda.

Sebelum ini, Jadadish Chandra memberitahu Bernama bahawa panel akan menyampaikan keputusan pada hari sama atau dua hingga tiga hari selepas prosiding.

Mengenai perkongsian itu, Lund berkata BWF dan Total berkongsi nilai-nilai dan matlamat utama korporat dan menjangka perkongsian akan memberi manfaat bersama ke arah meningkatkan pengiktirafan jenama kedua-dua produk.

Sementara itu, Pengarah Urusan Total Ol Malaysia, Antonio Miranda percaya bahawa perkongsian baharu Total-BWF akan menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia memilih jenama itu.

"Kami berbesar hati dan gembira untuk menjadi penaja gelaran BWF Major Events dari 2015 hingga 2018," katanya. 

Chong Wei, doping, BWF

Artikel Lain