suria

Terbuka Malaysia: Tidak Boleh Leka Jumpa Rakan Senegara - Hendra

KUALA LUMPUR: Beregu lelaki Indonesia Mohammad Ahsan/ Hendra Setiawan mara ke suku akhir Kejohanan Badminton Super Siri Premier Terbuka Malaysia di Stadium Putra Bukit Jalil, Khamis.


Pasangan pilihan keempat itu, mengambil masa 29 minit untuk menyekat kemaraan rakan senegara Andrei Adistia/Hendra Aprida Gunawan 21-18, 21-18.

Hendra berkata walaupun sudah boleh membaca corak permainan lawan mereka yang juga rakan sepelatih, sedikit kelekaan boleh menjadikan keputusan yang dicapai hari ini, menjadi sebaliknya.

"Walaupun lawan teman sendiri, sudah lama bermain bersama-sama, tapi itu tidak bermakna boleh bermain sambil lewa saja.

"Jika leka, lawan kita boleh mencuri mata," katanya.

Pasangan yang berada di ranking kelapan dunia itu, bakal berdepan sama ada satu lagi pasangan Indonesia Markis Kido/Agripinna Prima Rahmanto Putra atau beregu Jepun Hiroyuki Endo/Kenichi Hayakawa yang juga pilihan kelima kejohanan pada suku akhir.

Sementara itu, Mohammad Ahsan berkata peluang adalah seimbang jika mereka bertemu dengan pasangan Markis/Agripinna Prima pada suku akhir pada Jumaat.

"Peluang saya dan Hendra dengan Markis/Agripinna Prima 50-50. Siapa paling kuat (hebat) sahaja akan ke separuh akhir," katanya.

Artikel Lain