suria

Piala Davis: Pemain Negara Lakar Kemenangan Penting - Deen Heshaam

Deen Heshaam (tiga dari kanan) serta jurulatih (kiri) bergambar bersama pemain-pemain yang beraksi dalam saingan Piala Davis Kumpulan III Zon Asia/Oceania 2015.

KUALA LUMPUR: Pasukan Malaysia berjaya mencatat kemenangan bergaya ke atas pasukan Turkmenistan dalam saingan separuh akhir Piala Davis Kumpulan III Zon Asia/Oceania malah dianggap pencapaian paling bermakna bagi  acara tenis negara.

Kemenangan tersebut menyaksikan skuad negara dinaik taraf ke Kumpulan II  buat kali pertama selepas tahun 2006. 

Jurulatih negara, Deen Heshaam Tan Abdullah mengakui kejayaan pasukan negara kali ini disebabkan usaha berterusan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“Selama empat tahun mereka beraksi dalam Kumpulan III dan gagal ke separuh akhir. Namun kami tidak pernah berputus asa dan pemain-pemain juga telah menunjukkan kematangan dalam permainan.

“Saya turut gembira kerana ini adalah salah satu kejayaan terbesar dalam kalendar sukan tanah air, malah Piala Davis ini antara aksi penting acara tenis berpasukan dunia,” katanya ketika dihubungi mStar Online pada Sabtu malam.

Menurut Deen Heshaam, lebih penting kejayaan ini juga mampu mengubah kedudukan pasukan Malaysia dalam Ranking Negara-Negara Piala Davis Persekutuan Tenis Antarabangsa (ITF) yang kini berada di ranking ke-72 dunia (9 Mac 2015) daripada 133 buah negara.

“Berdasarkan ranking dunia, acara tenis berada dalam kedudukan yang jauh lebih baik daripada pasukan bola sepak negara (153).

“Pun begitu, kita semua sedar, kekurangan sokongan menjadikan sukan tenis di negara kita tidak begitu rancak seperti acara bola sepak atau sukan lain.

“Jadi, saya harap dengan kejayaan ini sedikit sebanyak dapat membuka mata semua peminat sukan tanah air seterusnya sama-sama memberi sokongan agar pasukan tenis kita mampu beraksi di peringkat lebih tinggi.

“Dalam pada itu, saya berterima kasih kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang memberi peruntukan untuk meneruskan persiapan atau program skuad negara termasuk jurulatih luar negara.

“Saya juga berharap lebih banyak syarikat korporat atau lain-lain tampil memberi sokongan kerana tanpa penajaan, peluang pemain-pemain kita untuk beraksi ke tahap lebih tinggi agak terhad,” ujarnya.

Selain itu, aksi separuh akhir di Kompleks Tenis Nasional Jalan Duta pada Sabtu, pasukan Malaysia mencatat dua kemenangan daripada tiga acara.

Pemain perseorangan pertama negara,  Mohd Assri Merzuki terpaksa bekerja keras sebelum mencatat kemenangan 6-7 (3) 6-3 6-3 ke atas pemain Turkmenistan.

Kemenangan kedua pula  dilakar oleh Syed Mohd Agil Syed Naguib dengan keputusan 6-3 3-6 6-2 menewaskan Isa Muhammet Gulyev.

Manakala aksi beregu tidak diteruskan kerana dua kemenangan tersebut sudah cukup buat skuad negara.

Selain Malaysia, pasukan Vietnam juga berjaya mara ke Kumpulan II 2016 dengan mengetepikan Hong Kong, 2-0.

Manakala pasukan Qatar dan Arab Saudi tersingkir ke Kumpulan IV selepas tewas dalam aksi play-off penyingkiran.

Pasukan Kemboja yang mencatat kemenangan 2-1 ke atas Qatar dan Syria mengetepikan Arab Saudi 3-0 kekal dalam Kumpulan III 2016 bersama Hong Kong serta Turkmenistan.

Sebagai rekod, aksi Piala Davis Kumpulan III Zon Asia/Oceania 2015 ini dilengkapi dengan lapan buah negara termasuk Malaysia, Hong Kong, Turkmenistan, Kemboja, Syria, Arab Saudi, Qatar dan Vietnam.

Mengikut format pertandingan, lapan pasukan ini dibahagi kepada dua kumpulan (A dan B).

Perlawanan separuh akhir menyaksikan juara kumpulan A akan bertemu naib juara kumpulan B dan naib juara kumpulan A bertemu juara kumpulan B.

Dua pemenang perlawanan tersebut akan dinaik taraf ke Kumpulan II Zon Asia/Oceania 2016.

Artikel Lain