suria

Terbuka Malaysia Hilang Seri Tanpa Kelibat Chong Wei

Lee Chong Wei.

PETALING JAYA: Kejohanan Terbuka Malaysia 2015, bermula 31 Mac ini, mungkin hilang seri dan kemeriahannya tanpa kelibat Datuk Lee Chong Wei yang masih menjalani penggantungan sementara atas kesalahan doping.

Timbalan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata, Chong Wei merupakan lagenda kejohanan itu selepas mengungguli kedudukan juara sebanyak 10 kali. 

"Sebagai penganjur, kita akan mencari jalan dan berharap ini adalah peluang kepada pelapis untuk mencuri tumpuan dan meneruskan kesinambungan Chong Wei pada kejohanan Terbuka Malaysia ini. 

"Mungkin sama ada daripada pemain perseorangan mahupun beregu kita harap mereka mampu mencuri tumpuan seperti mana Chong Wei," katanya kepada pemberita selepas majlis Anugerah Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM)-100 PLUS 2014, di sini Rabu.

Kejohanan Terbuka Malaysia 2015 akan berlangsung pada 31 Mac hingga 5 April di Stadium Putra Bukit Jalil. 

Dalam pada itu, melihat kepada prestasi pasangan beregu negara Goh V Shem dan Tan Wee Keong pada edisi lepas dan beberapa kejohanan lain, Mohamad Norza berkata, beregu negara itu mampu menyerlah dan kemungkinan mencipta sesuatu pada edisi kali ini.

Chong Wei digantung oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas didapati positif dadah larangan dexamethasone semasa ujian rambang pada Kejohanan Dunia di Copenhagen, Denmark, Ogos tahun lepas. 

BWF menetapkan 11 April ini untuk mendengar kes doping jaguh badminton negara itu di Amsterdam.

Sementara itu, mengulas mengenai persiapan pendengaran kes doping Chong Wei, Mohamad Norza berkata: "Kita semua sedia untuk 11 April. Saya dah beritahu Chong Wei dan peguam supaya lebih fokus kepada proses pendengaran ini. Dan kita berharap yang terbaik."

Artikel Lain