suria

Piala AFC: Pahang Tewas Kepada South China 0-1

Pemain South China AA FC Chan Siu Ki (dua kanan) membuat rembatan melepasi Kapten Pahang Damion Delano Stewart (kanan) untuk menghasilkan gol pertama pasukanya ketika perlawanan Piala AFC menentang wakil Hong Kong itu di Stadium Darul Makmur, malam Rabu. Foto BERNAMA

KUANTAN: Rekod tanpa kalah Pahang lebur di halaman sendiri selepas tewas 1-0 kepada South China pada perlawanan Kumpulan G, Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di Stadium Darul Makmur di sini, malam Rabu.

Skuad Tok Gajah mula dikejutkan dengan jaringan tunggal pada minit ke-12 menerusi rembatan kencang dari luar kotak penalti oleh Chan Siu Ki yang gagal diselamatkan oleh penjaga gol Khairulazhan Khalid. 

Pahang kemudian cuba bangkit untuk menyamakan kedudukan namun peluang yang terhidang di depan gol pada minit ke-37, hasil hantaran R. Gopinathan, gagal disempurnakan oleh R. Surendran selepas sentuhan penyudah sedikit tersasar daripada tiang gol.

Ketiadaan beberapa tongak utama Pahang seperti Matias Ruben Conti, Dickson Nwakaeme dan Fauzi Roslan yang dibelenggu dengan masalah kecederaan nyata memberi kesan kepada Pahang bagi menembusi gawang pelawat dari Hong Kong walaupun memperoleh banyak peluang untuk mencipta gol penyamaan.

Pada perlawanan pembukaan, Pahang menang tipis 3-2 ke atas kelab  Myanmar, Yadanarbon FC di Stadium Mandalar Thiri, Myanmar pada Februari lepas sebelum seri tanpa jaringan Global FC di sini, Sabtu lepas.

Pahang jini mengumpul empat mata manakala South China berjaya mengumpul enam mata penuh dalam dua perlawanan dengan menewaskan Global FC 6-1 dan Yadanarbon 3-1.

Pasukan bimbingan Zainal Abidin Hassan itu dijadual akan meneruskan kempen Piala AFC dengan menentang South China FC pada saingan timbal balik di Hong Kong pada 15 April ini.

Dalam satu lagi perlawanan Kumpulan G hari ini, Yadanarbon FC berjaya mengutip tiga mata penuh selepas menewaskan Global FC 2-0.

Artikel Sebelum

Keputusan Liga Juara-Juara

Artikel Lain