suria

Jarmila Mara Ke Separuh Akhir Terbuka Malaysia 2015

Aksi pemain pilihan keempat kejohanan, Jarmila Gajdosova dari Australia, ketika menentang pemain dari Thailand, Luksika Kumkhum pada perlawanan pusingan kedua kategori perseorangan, di Kejohanan Tenis Terbuka Malaysia BMW pada Rabu.

KUALA LUMPUR: Pemain pilihan keempat, Jarmila Gajdosova dari Australia melangkah ke suku akhir Kejohanan Tenis Terbuka Malaysia BMW 2015 selepas mengalahkan Luksika KumKhum, di sini pada Rabu.

Walaupun menghadapi perlawanan sengit, Jarmila memang straight set 7-5, 6-2 ke atas lawannya dari Thailand itu dalam perlawanan pusingan kedua di Kelab Golf Diraja Selangor (RSGC) di sini.

"Beliau (Luksika) merupakan pemain yang sangat berbakat. Beliau hebat dengan kedua-dua tangan. Ini merupakan penampilan suku akhir kali kedua bagi saya dalam kejohanan ini dan separuh akhir kedua dalam acara beregu.

"Saya bangga kerana melepasi halangan ini. Kejohanan di sini sama seperti beraksi di negara sendiri kerana cuaca yang sama. Saya rasa saya sudah bersedia untuk muncul sebagai pemain 50 terbaik dunia selepas kejohanan ini.

"Ini adalah permulaan baik bagi tahun ini," katanya kepada pemberita selepas perlawanan itu.

Jarmila akan menentang pemain Jepun, Kurumi Nara pada saingan suku akhir.

Pemain Jepun itu layak ke suku akhir selepas berhempas pulas selama tiga jam 13 minit untuk menyingkirkan pemain daripada pusingan kelayakan, Magda Linette dari Poland dengan keputusan 7-5, 5-7, 7-6 (8-6).

Dalam satu lagi perlawanan pusingan kedua, pemain daripada pusingan kelayakan, Elizaveta Kulichkova dari Rusia dengan mudah menempah slot suku akhir selepas menjinakkan pemain Kazakhstan, Yulia Putintseva dengan keputusan 6-0 dan 6-2.

"Saya beraksi dalam cuaca panas...lebih-lebih lagi set kedua begitu mencabar dan keadaan mental yang kuat membolehkan saya memenangi perlawanan ini," kata Elizaveta.

Tenis Terbuka Malaysia 2015

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain